PENGACARA Datuk Aznil Nawawi tidak menyangka pertemuan dengan Datuk S Atan ketika sambutan ulang tahun kelahirannya pada 6 November lalu merupakan kali terakhir mereka bersua muka. Aznil, 62, berkata, ketika itu dia tidak tahu mengapa tergerak hati untuk bertemu dengan Allahyarham dan berita pemergiannya menjawab persoalan tersebut. "Saya sangat terkesan kerana baru sahaja bertemu dengan S Atan pada hari lahir saya tempoh hari. Saya pun tidak tahu kenapa saya tergerak hati nak jumpa dia pada hari lahir saya. "Allahuakbar rupanya itu pertemuan terakhir saya dengan Allahyarham," katanya. Aznil mempunyai hubungan baik bersama S Atan (kiri). Aznil berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada petang Sabtu. Menerusi perkongsian itu, Aznil turut memaparkan rakaman video dia mengunjungi kediaman S Atan dan disambut dengan riang oleh isteri komposer tersebut iaitu Datin Norizan Yeob. S Atan juga dilihat terharu dengan kehadiran pengacara itu dan mengucapkan selamat hari lahir kepada Aznil. Dalam pada itu, Aznil memberitahu dia dan keluarga Allahyarham mempunyai ikatan silaturahim yang baik memandangkan pernah hidup berjiran dengan isteri komposer berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Komposer S Atan meninggal dunia akibat sesak nafas ARTIKEL BERKAITAN: “Abang maafkan saya” - Aznil Nawawi ralat tak dapat kumpul lebih banyak dana buat Ibnor Riza Aznil juga sempat menitipkan doa buat S Atan agar ditempatkan dalam kalangan orang beriman. "Isteri S Atan merupakan kawan rapat saya dan kami berjiran. Setiap kali saya buat rumah terbuka hari raya dan perkahwinan keluarga pasti S Atan hadir. "S Atan merupakan satu figura yang sangat hebat dan mempunyai peribadi sangat merendah diri dan berkarisma. S Atan meninggal dunia akibat sesak nafas. "Semoga sakit abang (S Atan) itu berakhir dengan perjalanan syurga yang Allah janjikan. Ya Allah jagalah abang S Atan di sana dan tempatkan dia dengan orang-orang yang soleh," ujarnya. Untuk info, S Atan meninggal dunia pada pukul 3.53 petang Sabtu akibat sesak nafas di kediamannya di Kajang, Selangor. S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun. Jenazah Allahyarham dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan di Kajang pada pagi Ahad. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!