PELAWAK dan usahawan Shuib tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna TikTok yang mengeluarkan kenyataan fitnah membabitkan syarikatnya iaitu Bubblebee Sdn. Bhd. Shuib atau Shahmira Muhamad, 40, berkata, tindakan tegas itu diambil kerana fitnah dilemparkan memberikan impak serta kerugian dalam perniagaan diusahakan. "Saya ada terbaca satu kenyataan dikeluarkan di TikTok dan ia melampaui batas sebab kalau nak bercerita tentang sesuatu produk atau pengasasnya, kena fikir apa kesan kepada orang tersebut. Shuib tidak mengambil ringan dengan fitnah yang menyebabkan syarikat miliknya mengalami kerugian. "Kalau kesannya tidak baik dan menyebabkan kerugian, saya kena ambil tindakan kerana tidak adil untuk saya dan syarikat. "Tuduhan itu semua tidak berasas. Saya baca ulasan dibuat dan saya boleh keluar dengan fakta dan asas sangat kukuh untuk mempertahankan syarikat saya," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Shuib memberitahu tindakan undang-undang diambil bagi memberi pengajaran buat individu terbabit agar tidak memandang remeh dengan segala kenyataan dimuat naik di media sosial. ARTIKEL BERKAITAN: Shuib mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal bayar cukai perkhidmatan dan penalti RM1.6 juta ARTIKEL BERKAITAN: Akibat tak bayar caruman Perkeso, Shuib dan pengarah Bubblebee kena denda RM17,500 Kata Shuib, dia sudah biasa berdepan dengan individu yang disaman dan akhirnya mereka hanya tertunduk malu kerana menyedari kesalahan dibuat. "Perniagaan kami ialah bisnes besar melibatkan jutaan ringgit. Kalau individu terbabit boleh menyebabkan kerugian berjuta kepada kami, saya rasa dia perlu diberi pengajaran. "Mungkin dia rasa media sosial ini boleh dibuat main-main... Saya sudah biasa melalui perkara ini dan akhirnya bila jumpa di mahkamah, individu seperti inilah hanya tertunduk malu dan bercakap dalam keadaan terketar-ketar. "Kalau saya tak ambil tindakan nanti dia rasa dialah paling bijaksana dalam berkata-kata," ujarnya. Shuib diuji dengan pelbagai kontroversi dalam perniagaan. Sebelum ini, Shuib dan pengarah syarikat Bubblebee Sdn Bhd iaitu Kho Choon Guan berdepan enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta pada tahun lalu. Shuib bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan berasingan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor pada Khamis. Sebelum itu, Shuib dan Kho didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!