PENGALAMAN di pentas Muzikal Lawak Superstar musim ke-4 (MLS4) menjadi platform terbaik buat personaliti media sosial Acap S lebih serius menjadi seorang pelakon dan pelawak. Bagaimanapun kata Acap atau Muhammad Asraf Jaafar, 29, dia tidak akan meninggalkan aktiviti melakukan video siaran langsung di TikTok kerana medium itu yang membuatkan namanya dikenali. “Sudah sembilan tahun saya aktif di media sosial, tak mungkin saya tinggalkan. Saya akan terus buat live seperti biasa sebelum ini. Acap bersama kumpulan Sarkas bergelar juara MLS4. “Di situlah saya dapat kepuasan hiburkan orang. Pendapatan juga tidak kurang banyak. "Pentas MLS4 ini menjadi tempat orang nampak bakat saya. Jika ada peluang berlakon atau mengacara selepas ini saya akan terima tetapi masih banyak perlu saya belajar," katanya kepada mStar. Acap yang merupakan anggota kumpulan Sarkas berjaya merangkul gelaran juara dalam pentas akhir MLS4 yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras pada malam Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Acap S menangis tak menang ‘KNKV Viral Award’, sedih hancurkan harapan ibu sedang sakit ARTIKEL BERKAITAN: Sarkas juara Muzikal Lawak Superstar 4, bawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 Menerusi kemenangan tersebut, Sarkas membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 berserta trofi. Sembilan minggu bersaing bersama dua lagi rakannya iaitu Danial Zaini dan Shashic, Acap akui ia bukan cabaran mudah. Malah pelbagai komen dan kritikan diterima sebelum ini dijadikan sebagai pembakar semangat untuk dia lebih berani beraksi di hadapan orang ramai. Sudah sembilan tahun saya aktif di media sosial, tak mungkin saya tinggalkan ACAP S PERSONALITI MEDIA SOSIAL "Buat live di TikTok berbeza, walau saya tahu ramai menonton tetapi tak nampak muka. Beraksi di atas pentas pula memang gementar sebab ada penonton di depan mata. "Bohong jika saya tidak pernah rasa tertekan. Lagi-lagi bila dapat komen saya tak kelakar dan hanya sekadar menumpang rakan-rakan lain namun semua itu saya jadikan satu pembelajaran. "Biasalah sebelum naik di atas pentas saya akan selawat selain menatap gambar isteri, ibu dan anak. Saya pasang niat untuk hiburkan mereka," ujarnya. Pengalaman di pentas MLS4 mengajar Acap menjadi lebih berani. Tambah Acap meskipun serius mahu bergelar anak seni, namun dia tidak terfikir untuk menetap di Kuala Lumpur kerana mahu menjaga ibunya di Gerik, Perak. "Rasanya kalau ada penggambaran drama sekalipun ada masa rehat dan saya boleh ulang-alik ke Gerik. Sepanjang sembilan minggu ini pun saya kerap balik ke rumah ibu. "Saya anak tunggal, jadi tidak mahu tinggalkan ibu di sana. Tak terfikir mahu terus menetap di Kuala Lumpur selepas ini," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube