PENYANYI Misha Omar meluahkan rasa bangga dengan kejayaan diperoleh Ernie Zakri di Anugerah SCTV 2024 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada malam Rabu. Menyifatkan Ernie sebagai duta baharu negara, Misha atau Samihah @ Aishah Omar, 42, berkata penyanyi itu memiliki bakat besar dan mampu melangkah lebih jauh dalam bidang seni. "Tahniah Ernie, kak Mitch (panggilan Misha) bangga dengan awak. Hati saya tersenyum berbunga-bunga tengok gambar ni. Misha tumpang bangga dengan kejayaan Ernie di Indonesia. "Saya sangat gembira, akhirnya ada duta baru untuk industri muzik kita yang kecil comel orangnya tapi punya suara dan jiwa besar," katanya. Misha berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory pada Khamis. Dalam pada itu, Misha berharap kemenangan itu juga dapat menjadi asbab untuk menarik lebih ramai peminat di Indonesia bagi menghayati karya muzik dari Malaysia. ARTIKEL BERKAITAN: Peminat kecewa Misha Omar tiada di SFMM39, Vanessa Reynauld nyanyikan lagu ‘Masihkah Ada Rasa Itu’ ARTIKEL BERKAITAN: Gandingan menjadi, Govinda dan Ernie Zakri saling tumpang populariti... Berbeza penerimaan lagu di Indonesia Misha turut mendoakan kejayaan Ernie untuk lebih bersinar di persada muzik Malaysia dan seluruh Asia. "Mudah-mudahan ini juga penggerak untuk mengajak pendengar dari seberang (Indonesia) untuk dengar juga katalog muzik penyanyi-penyanyi negara kita yang lain. "Semoga terus mengukir nama di persada muzik Malaysia dan Asia. Saya sayang awak," ujarnya. Pada Rabu, lagu nyanyian Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, bersama komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda berjudul Masing-Masing dinobatkan sebagai pemenang kategori Sountrack Sinetron Paling Ngetop (OST) di Anugerah SCTV 2024 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia. Ernie menyifatkan kemenangan yang diraih itu sebagai satu kenangan indah dan kejayaan buat peminat yang sentiasa memberikan sokongan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!