PELAKON Kiah Propa berkongsi perkembangan terkini keadaan kesihatan suaminya iaitu Mohamad Nazri Ismail. Kiah atau Siti Rokhaida Abdul Khalil, 45, memaklumkan sel kanser sudah merebak ke bahagian ketiak dan paru-paru. Keadaan itu menyebabkan suaminya tidak dapat dirawat dengan kaedah pembedahan disebabkan sel kanser sudah mula menyerang organ badan lain. "Aku sedih sangat hari ini (Rabu) doktor cakap sel kanser suami dah merebak ke paru-paru dan bawah ketiak. Aku sedih sangat tapi dia steady. Kiah berdoa agar mereka sekeluarga diberikan kekuatan untuk berdepan dengan ujian. "Pembedahan tidak boleh dilakukan disebabkan sel kanser sudah terlalu banyak di semua saraf utama di leher, bawah ketiak dan mula masuk ke bahagian paru-paru. "Untuk kimoterapi pula sel kanser ini tidak sensitif, pendek kata rawatan ini hanya menidurkan sel sahaja," katanya. Kiah berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya. Dalam pada itu, Kiah menitipkan doa agar mereka sekeluarga diberikan kekuatan menghadapi ujian yang diberikan ini. ARTIKEL BERKAITAN: Kiah Propa terbuka hati kahwin semula selepas bekas suami disahkan hidap kanser... “Saya lamar dia, persiapan cuma seminggu” ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga penguat semangat Kieran lawan kanser prostat, pasang niat tunai umrah atau haji "Ya Allah kuatkan aku untuk suami, anak-anak yang masih kecil dan perniagaan aku. "Moga diri ini kuat cekal dan tabah serta istiqamah mengejar tiket akhirat. Babah (panggilan Nazri) awak kuat tau. Awak reda apa yang berlaku tapi saya sebaliknya," ujarnya. Sebelum itu, Kiah juga turut memuat naik sebuah video di aplikasi TikTok miliknya memaparkan keadaan Nazri yang sedang terbaring di atas sofa kerana menanggung kesakitan. Kata Kiah, dia tidak dapat menahan sebak apabila melihat suami terpaksa berada dalam keadaan tidak selesa. "Ini rupanya kanser, sedih aku tengok rasa nak menangis. Dia serba tak kena. Tak senang duduk 24 jam. Harapkan ubat tahan sakit tak jalan. "Aku sebagai isteri ikutkan sahaja apa dia nak, apa dia selesa. Aku cuba juga perubatan moden dan tradisional. Cuma kanser melibatkan leher ini faham-fahamlah saraf banyak ke otak, ke badan, ke muka dan pembuluh darah lagi," katanya. Kiah bernikah semula dengan Nazri pada 16 November lalu. Sebelum ini, Kiah bertindak melamar Nazri selepas lelaki itu didiagnos kanser leher sejak seminggu lalu. Rasa simpati terhadap kesakitan yang ditanggung Nazri membuka hati pelakon berkenaan untuk kembali berumah tangga. Kiah dan Nazri pernah mendirikan rumah tangga pada 2011 namun berpisah selepas beberapa tahun bernikah. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!