PEMPENGARUH media sosial dan pelakon Sabrina Azhar tidak pernah berdepan diskriminasi atau layanan berbaur rasis sepanjang menetap di Korea Selatan. Sabrina, 24, menjelaskan dia tidak berdepan situasi itu walaupun berhijab mungkin disebabkan dia mahir berbahasa Korea. Katanya masyarakat di negara itu sebenarnya mesra namun kekangan bahasa menjadi faktor mereka bersikap sombong dengan pelancong. "Alhamdulillah saya tak pernah berdepan sebarang diskriminasi atau sikap rasis masyarakat di Korea walaupun berhijab. Sabrina sudah beberapa tahun menetap di Korea Selatan. "Paling tidak pun dapat pandangan serong sahaja tetapi selepas berkomunikasi dalam bahasa Korea mereka sebenarnya sangat ramah. "Saya bukan hendak pertahankan orang Korea tetapi saya rasa mereka lebih mesra dengan individu yang mampu bercakap dalam bahasa mereka," katanya kepada mStar. Bagaimanapun cerita Sabrina, salah seorang rakannya pernah menjadi mangsa sikap rasis ketika mereka sama-sama melanjutkan pelajaran di sebuah universiti dekat negara tersebut. Katanya, rakannya itu pernah didatangi seorang lelaki sebelum dia bertindak menarik hijab dipakai dan memintanya pulang ke negara asal. ARTIKEL BERKAITAN: Belajar di Korea, berhijab, suka menari! Gadis Malaysia cetus kontroversi kongsi pandangan ‘wanita Muslim dan tarian’ dalam temubual BBC ARTIKEL BERKAITAN: Orang Korea Selatan terpegun kecantikan Siti Saleha, jadi bualan di laman popular Naver "Kawan saya gemar berbasikal di kawasan Sungai Han dan ada satu hari itu seorang lelaki tiba-tiba meluru ke arah kawan saya dan memaki hamunnya sebelum menarik tudungnya. "Dia sampai tak tahu nak buat apa sebab trauma dengan insiden tersebut," katanya. Dalam perkembangan lain, Sabrina teruja apabila bakal muncul dengan drama Rahsiamu Selamat Denganku yang bakal bersiaran di Astro Ria bermula 9 Disember ini. Sabrina yang pernah berlakon di Korea Selatan juga selesa dapat bekerja dengan produksi tempatan yang disifatkan berbeza. Sabrina sebelum ini menuntut di Universiti Hanyang, Korea Selatan. "Saya lebih selesa berlakon di sini sebab jika dekat Korea adakalanya membuatkan saya rasa terasing. "Di Korea pun saya hanya berlakon drama web manakala di Malaysia drama Rahsiamu Selamat Denganku ditayangkan di televisyen," ujarnya. Sabrina juga terbuka menerima lebih banyak tawaran berlakon malah bersedia berulang-alik dari Seoul ke Kuala Lumpur. Selain Sabrina, drama Rahsiamu Selamat Denganku turut dibintangi pelakon popular termasuk Alvin Chong dan Siti Khadijah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!