PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bakal menganjurkan Sesi Tayangan dan Apresiasi Filem secara percuma kepada orang ramai selama lima hari. Lima filem yang bakal ditayangkan adalah karya tercalon menerusi kategori Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) iaitu Duan Nago Bogho, Imaginur, Mechamato Movie, Hungry Ghost Diner dan Rain Town. Penganjur iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memberitahu program tersebut merupakan sisipan bersempena FFM33 yang turut menampilkan penerbit, pelakon dan pengarah Karya tercalon menerusi kategori Filem Terbaik di FFM33. Turut diadakan sesi berkongsi idea dan pendapat mengenai filem ditayangkan bersama ahli-ahli panel yang dijemput. “Program apresiasi filem ini dianjurkan untuk membuka peluang penyertaan kepada masyarakat umum yang berminat mengikuti sesi tayangan dan apresiasi filem berkaitan perkongsian idea dan pendapat mengenai filem-filem secara ilmiah bersama ahli-ahli panel. “Program ini juga membantu mempromosikan dan meningkatkan publisiti FFM33 dalam kalangan penggiat industri tempatan dan antarabangsa,” kata wakil Finas dalam satu kenyataan kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Imaginur’ dan ‘Abang Adik’ ungguli senarai pencalonan Festival Filem Malaysia ke-33 ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 5 tahun, FFM33 perkenalkan semula kategori Dokumentari Terbaik Program itu bakal berlangsung selama lima hari bermula 2 Disember (Isnin) pada sebelah malam di Golden Screen Cinemas (GSC) dekat Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur. Penyertaan adalah terhad kepada 100 orang dan mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi https://forms.gle/rwL63GvGEMY4UqUVA. Setelah pendaftaran dibuat, boleh hadir di kaunter urusetia di pintu masuk pawagam dengan membawa notifikasi yang diterima di emel pendaftar. Selain itu, pihak Finas juga mengadakan sesi tayangan umum filem-filem yang bertanding sempena FFM33 secara percuma bermula 30 November hingga 6 Disember 2024. Pelakon Diana Danielle dan penerbit Nik Amir turut hadir di sesi Apresiasi Filem nanti. Tayangan filem terlibat diadakan di Mid Valley, Imago di Kota Kinabalu, Sabah dan Spring Mall di Kuching, Sarawak. Malam kemuncak FFM33 bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media di Angkasapuri Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung menerusi RTM TV2 pada pukul 9 malam. Sebanyak 24 kategori bakal dipertandingkan pada malam itu nanti termasuk tiga Anugerah Khas. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!