PENCALONAN kategori Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) dilihat sengit apabila tujuh karya hebat dicalonkan untuk edisi kali ini. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, pihak penjurian bersetuju mengumumkan tujuh filem cereka bertanding kerana setiap karya memiliki kekuatan tersendiri. "Sepatutnya hanya lima filem dipilih dalam senarai Top 5 bagi kategori Filem Terbaik tetapi barisan juri buat keputusan pilih tujuh filem ini. "Kami menerimanya kerana sudah mendapat penjelasan mengenai banyak saingan tahun ini. Melihat senarai tujuh filem yang bolos dalam kategori Filem Terbaik, kami nampak ada peningkatan dari segi kualiti dan saingan. Tujuh filem cereka bersaing untuk dinobatkan sebagai 'Filem Terbaik' di FFM33. "Ini kerana ada filem sudah memenangi banyak festival antarabangsa dan mendapat kutipan pecah panggung," katanya. Dalam pada itu, Azmir berkata kesemua tujuh filem yang dipilih mempunyai kualiti dan layak untuk berada dalam kategori tersebut sudah dianggap sebagai pemenang. Hal ini membuatkan barisan juri berdepan cabaran sukar untuk memilih pemenang bagi kategori tersebut. "Setiap filem yang berjaya dalam kategori Filem Terbaik ini ada kekuatannya seperti Imaginur, Rain Town dan Sheriff. Ini kerana pembikinannya bagus dan mendapat kutipan pecah panggung tahun ini. ARTIKEL BERKAITAN: Tercalon FFM33 bukti Elizabeth Tan serius berlakon, hadiah bermakna sepanjang bergelar anak seni ARTIKEL BERKAITAN: Diana Danielle puas hati tercalon di FFM33, ada individu lain layak genggam trofi ‘Pelakon Wanita Terbaik’ "Secara kasar, sudah nampak saingan sengit filem Abang Adik arahan Jin Ong yang mendapat 11 pencalonan dan Imaginur arahan Nik Amir Mustapha mendominasi 15 daripada 24 pencalonan... Namun, Abang Adik ada kelebihan kerana sudah banyak ditayangkan di festival luar negara dan dapat pengiktirafan antarabangsa. "Saya melihat barisan juri akan berhadapan dengan cabaran sukar memilih filem terbaik. Kami ada bincang dengan pihak penjurian, walau apa pun kena ada pemenang," ujarnya. Mengulas lanjut tentang ketelusan dalam membuat pemilihan pemenang, Azmir berkata, Finas yakin barisan juri menilai dari semua aspek dan sudut serta menonton filem yang bertanding beberapa kali. "Saya pasti setiap juri ada pengamatan apa yang mereka nak sampaikan atau kenapa pilih naskhah untuk diangkat sebagai Filem Terbaik. Azmi melihat kesemua tujuh filem yang dipilih mempunyai kualiti dan layak untuk berada dalam kategori Filem Terbaik FFM33. "Sebab itulah kami nak beri penekanan kepada juri sebab saya melihat FFM bakal melahirkan panel juri yang profesional dan berpengalaman," katanya. Untuk info, tujuh filem berjaya bolos dalam kategori Filem Terbaik FFM 33 ialah Imaginur, Abang Adik, Sheriff: Narko Integriti, Rain Town, Duan Nago Bogho, Mechamato Movie dan Hungry Ghost Diner. Malam kemuncak Anugerah FFM33 bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur pada Sabtu ini, pukul 8.30 malam. FFM33 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 dan YouTube Finas. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!