ACARA lelongan barangan milik usahawan sensasi Datuk Seri Vida yang sepatutnya diadakan pada 9 Disember ini ditangguhkan. Ia susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Vida selaku defendan menangguhkan proses itu pada Jumaat lalu. Peguam mewakili Ah Design Communication iaitu Samir Zainal memberitahu penangguhan itu bagi membolehkan defendan menilai semula sama ada barang-barang disita adalah milik peribadi atau syarikatnya iaitu Vida Beauty Sdn Bhd. Samir memaklumkan acara lelongan barangan milik Vida ditunda. "Lelong ini ditunda disebabkan mahkamah membenarkan permohonan Vida Beauty Sdn Bhd untuk tangguhkan sementara bagi menentukan pemilikan sebenar barang-barang disita tersebut. "Sama ada ia milik Vida sendiri atau syarikatnya," katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu. Dalam pada itu, Samir memberitahu akan berbincang dengan anak guamnya yang juga plaintif kes tersebut sama ada ingin membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Barang rumah Datuk Vida termasuk 4 kereta mewah bakal dilelong, tak bayar hutang lebih RM1 juta ARTIKEL BERKAITAN: Inilah senarai penuh 727 barangan milik Vida disita untuk tujuan lelong "Pengurusan kes itu ditunda pada 10 Januari depan dan saya tidak boleh mengulas lanjut kerana perlu bercakap dengan anak guam sama ada mahu merayu untuk tindakan seterusnya," ujarnya. Pada 25 November lalu, dianggarkan 727 barangan milik Vida disita dalam proses yang berlangsung selama lima jam di banglo tiga tingkat milik vida di Meru Heights, Ipoh. Ia selepas usahawan itu gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada syarikat kontraktor pembinaan Ah Design Communication sebanyak RM 1,060,285 pada tahun 2018. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan penghakiman pada 29 Oktober tahun lalu memerintahkan Vida menyelesaikan hutang itu dan jika gagal berbuat demikian writ rampasan dan penjualan akan dikeluarkan. Syarikat itu dikatakan telah bekerjasama dengan Vida bagi melakukan pengubahsuaian bangunan pejabat usahawan itu, Vida All Star Studio bertempat di Elite Industrial Park Seksyen 33, Shah Alam. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!