TERHARU sokongan diberikan, penyanyi Amir Masdi sanggup turun ke Sekolah Kebangsaaan Senawang (SK Senawang), Negeri Sembilan sebagai tanda penghargaan kepada kumpulan pelajar yang menyanyikan lagunya berjudul Nurcinta. Amir atau Amir Syazwan Masdi, 28, berkata dia tertarik melihat usaha dilakukan pelajar sekolah berkenaan menyanyikan lagu cover Nur Cinta diiringi dengan instrumen muzik. "Asalnya saya nampak ramai buat lagu cover di TikTok dan saya kumpulkan semuanya. Kemudian saya nampak ada satu cover dilakukan oleh budak sekolah dan menariknya mereka menyanyi dengan bermain instrumen. Amir mahu memberikan semangat dan motivasi untuk pelajar. "Saya rasa macam jarang dapat lihat lagu cover yang dibuat sambil main instrumen. Saya rasa terharu dan mahu hadir ke sekolah untuk menghargai usaha mereka. "Saya pergi ke sekolah itu untuk membuat kejutan kepada pelajar. Saya dan team menghubungi guru terlibat dan merekalah yang menguruskan semuanya," katanya kepada mStar. Amir berkongsi perkara itu ketika ditemui di tayangan perdana filem animasi Dongeng Sang Kancil yang diadakan di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada malam Isnin. Dalam pada itu, Amir memuji usaha yang ditunjukkan oleh guru-guru SK Senawang dalam memberi pendedahan kepada pelajar mengenai muzik. ARTIKEL BERKAITAN: Amir Masdi belum sedia bercinta, bukan masa sesuai untuk ada kekasih ARTIKEL BERKAITAN: Amir Masdi mahu hidupkan semula fesyen retro, tak peduli dilabel ‘tua sebelum usia’ yang penting jiwa muda Tambahnya, kehadiran dia ke sekolah berkenaan bukan hanya sekadar untuk memberi kejutan malah mahu menyuntik motivasi dan semangat untuk pelajar berjaya dalam bidang muzik. "Satu sekolah hafal lagu Nurcinta dan saya nampak usaha guru-guru memberikan pendedahan terhadap bidang muzik dengan baik kepada para pelajar. "Kehadiran saya itu juga bukan hanya untuk menyanyi tetapi mahu memberi motivasi dan semangat buat pelajar berjaya dalam bidang muzik," ujarnya. Sebelum ini, tular di media sosial memaparkan video Amir membuat kejutan datang ke sebuah sekolah untuk menyanyikan lagu Nur Cinta bersama pelajar. Satu sekolah hafal lagu Nurcinta dan saya nampak usaha guru-guru memberikan pendedahan terhadap bidang muzik. AMIR MASDI PENYANYI Menerusi perkongsian video tersebut, kehadiran Amir disambut mesra oleh guru-guru dan pelajar sambil menyanyikan lagu runut bunyi drama Andai Tiada itu. Dalam perkembangan lain, Amir menjadi pelakon suara bagi watak Harimau Kumbang menerusi filem animasi Dongeng Sang Kancil terbitan Les’ Copaque Production. Kata Amir, dia menerima tawaran ini kerana mahu menguji kemampuan membawakan karakter animasi sepanjang pembabitannya dalam bidang seni. "Ini pertama kali saya berlakon sebagai pelakon alih suara dalam filem animasi. Sewaktu saya menerima tawaran, saya terfikir kenapa tidak kalau saya mencuba. Nama Amir semakin meningkat naik menerusi lagu Nurcinta. "Saya mahu melihat kemampuan saya dalam menyumbangkan suara untuk siri animasi. Tambah pula saya ditawarkan untuk menjadi watak jahat, jadi saya suka cabaran yang diberikan. "Cabarannya adalah bagaimana untuk membuatkan penonton mengingati watak penjahat dalam filem animasi ini nanti," katanya. Filem Dongeng Sang Kancil bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 26 Disember ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!