suria

PU Azman dijatuhi hukuman penjara kali keempat, dijel 6 tahun serta satu sebatan

Azman tenang berdepan dengan hukuman.

MAHKAMAH Sesyen Shah Alam pada Isnin menjatuhi hukuman penjara enam tahun serta satu sebatan terhadap Pencetus Ummah (PU) Azman.

Hukuman itu diputuskan selepas Azman atau Azman Syah Alias, 43, menukar pengakuan kepada bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia yang pada waktu kejadian berusia 17 tahun iaitu tujuh tahun lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali ketika membuat keputusan itu mengarahkan agar tertuduh menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor.

azman 1

Hukuman Azman akan berjalan serentak dari tarikh dijatuhi hukuman.

Rasyihah dalam penghakimannya turut mengarahkan Azman menjalani kaunseling sepanjang tempoh hukuman dan perlu diletakkan bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai tempoh itu.

Mahkamah turut memutuskan hukuman berkenaan sebagai 'Take Into Consideration' (TIC) mengikut 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pembelaan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara pada Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: PU Azman dipenjara 7 tahun, mengaku salah lakukan amang seksual terhadap dua remaja

ARTIKEL BERKAITAN: PU Azman mengaku bersalah lakukan kelucahan melampau, hukuman penjara tambah 14 bulan lagi

Ini merupakan kali keempat Azman dijatuhi hukuman penjara.

Peguam, Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili Azman memberitahu kesemua hukuman berkenaan akan berjalan serentak bermula tarikh jatuh hukum.

"Dia menghadapi 12 pertuduhan, namun dua kes telah diberi perintah TIC dan semua hukuman berjalan serentak, tiada pertambahan bagi hukuman penjara,” katanya.

azman 2

Azman turut perlu jalani sesi kunseling sepanjang tempoh hukuman.

Pada 27 September lalu, Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.

Bukan itu sahaja, Azman turut dijatuhi hukuman penjara tambahan sebanyak 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Klang, Selangor pada 6 Disember lalu selepas Azman mengaku bersalah atas kelucahan melampau terhadap remaja lelaki.

Manakala pada 17 Disember lalu, Mahkamah Sesyen Seremban pula menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan selepas Azman mengaku bersalah atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki, dua tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain