SEKIAN lama menyepi daripada dunia lakonan kerana menguruskan perniagaan, pelawak Amir Raja Lawak memberitahu dia sudah bersedia untuk kembali menerima tawaran seni.
Kata Amir atau Mohammad Amirullah Azmi, 36, dia terbuka untuk menerima apa sahaja tawaran yang difikirkan bersesuaian termasuklah sebagai orang kurang upaya (OKU) atau mangsa dera dan buli.
"Ada yang nak tawar job nanti boleh hubungi saya ya. Kalau ada watak sedih-sedih macam watak kena dera ke, watak cacat ke atau watak kena buli saya memang berminat nak buat.
Amir bersyukur akhirnya dia bakal kembali berlakon.
"Tahun lepas saya memang fokus meniaga sahaja, tawaran berlakon memang ada cuma saya tak ambil sebab tengok seronok berniaga.
"Untuk tahun ini, insya-Allah saya akan mula ambil tawaran berlakon," katanya.
Amir berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga air balang rugi, pelanggan lari selepas Amir Raja Lawak buka gerai di Perak - “Jangan letak kesalahan 100 peratus pada saya”
ARTIKEL BERKAITAN: Amir Raja Lawak tutup bisnes air balang di Perak, berehat selepas didakwa ‘curi’ pelanggan peniaga lain
Dalam perkongsian tersebut, Amir turut memaparkan paparan skrin perbualan di aplikasi WhatsApp di mana dia menerima tawaran menjalani penggambaran drama selama lapan hari.
Kata Amir, dia bersyukur kerana diberikan peluang kembali berlakon namun akan tetap memberikan fokus terhadap perniagaannya selepas tamat penggambaran berkenaan.
"Alhamdulillah dalam masa terdekat ini kembali jadi artis sekejap. Dah habis penggambaran nanti, sambung jadi usahawan semula. Dah setahun ni tak makan nasi produksi," ujarnya.
Untuk rekod, Amir mengusahakan produk minuman pelbagai perisa di bawah jenamanya iaitu Air Jagung Amirreka sejak 2017.
Selepas tujuh tahun menjalankan perniagaan air, pelawak berkenaan melebarkan sayap memulakan perniagaan menjual ayam goreng di bawah francais jenama APFC.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!