PENGACARA Nazrudin Rahman yakin dapat mencipta keserasian bersama rakan gandingan hos Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) iaitu Sissy Imann.
Nazrudin atau lebih mesra disapa Naz, 47, berkata dia turut teruja digandingkan bersama Sissy yang disifatkan seorang selebriti yang memiliki kebijaksanaan terutamanya berkaitan muzik.
Dalam masa sama, Naz bagaimanapun berasa simpati apabila penyanyi berkenaan menerima komen negatif selepas dipilih sebagai hos AJL39.
"Saya sedih melihat apa yang menimpa Sissy. Saya masih ingat lagi sewaktu usia seperti dia, saya tahu bagaimana hancurnya hati dan patah semangat apabila menerima kritikan negatif.
Naz teruja digandingkan bersama Sissy sebagai hos AJL39.
"Saya sudah bertemu dengannya beberapa kali. Saya tahu ada keserasian di antara kami dan saya suka ada pasangan hos yang ada 'otak' (bijak)," katanya kepada mStar.
Naz berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Amy Search Magic Konsert Solo Pertama yang diadakan di Society, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, Naz memberitahu dia tidak berkecil hati terhadap reaksi penonton yang dikatakan kurang senang dengan pemilihan hos bagi edisi kali ini.
Kata Naz, pihak produksi TV3 mahu menampilkan kelainan dengan membawa pengacara senior dan pelapis untuk memberikan pembaharuan dalam acara hiburan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tak puas hati pemilihan hos AJL39, Sissy Imann anggap rezeki
ARTIKEL BERKAITAN: Usah pertikai kredibiliti, Faizal Ismail yakin Naz dan Sissy mampu galas tugas hos AJL39
"Bagi yang sudah lama dalam industri, saya tidak berkecil hati. Saya lebih risau untuk Sissy kerana sebagai rakan, saya tahu tekanan yang bakal datang termasuk jangkaan daripada penonton.
"Saya tidak mahu Sissy patah semangat. Saya sendiri tanya produksi TV3 kenapa memilih saya. Mereka mahukan seorang senior dan pelapis berkongsi satu pentas.
"Pihak produksi mahu bawakan kelainan selepas hampir empat dekad menganjurkan AJL," ujarnya.
Berkongsi pengalaman menonton pentas AJL diacarakan oleh hos terkenal seperti Azwan Ali dan Fauziah Ahmad Daud, Naz memberitahu dia ingin menggembalikan kegemilangan acara berprestij ini.
Saya tahu ada keserasian di antara kami dan saya suka ada pasangan hos yang ada 'otak' (bijak).
NAZRUDIN RAHMAN
PENGACARA
Bagi Naz, pentas AJL menjadi platform utama untuk menaikkan nama pengkarya lagu terutamanya pendatang baharu dalam bidang muzik.
"Saya dibesarkan sewaktu Azwan dan Ogy mengacarakan AJL yang ada kaliber sebagai seorang hos.
"Pentas AJL bukan sahaja menaikkan nama artis, tetapi komposer dan penulis lirik yang dibelakang tabir juga berpeluang bersinar dalam industri hiburan.
"Kebanyakan pengkarya muzik kita dibawah umur 35 tahun. Saya sangat kagum. Tanggungjawab saya sebagai pengacara, saya mahu kembalikan era tersebut," katanya.
Sebelum ini, ramai kurang senang dengan pemilihan Naz dan Sissy atau Sissy Imann Mohammad Kamil, 30, sebagai hos AJL39 yang bakal berlansung pada 16 Februari ini.
Sissy mempunyai ilmu dalam bidang muzik.
Sissy ketika ditemu bual mStar memberitahu, dia menganggap pemilihannya sebagai hos adalah rezeki dari Allah SWT.
AJL 39 akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 16 Februari ini bermula pukul 9 malam.
10 buah lagu bakal berentap di AJL39 ialah Puas Sudah nyanyian Aina Abdul,
Terus Bersinar (Hafiz Suip), Aura (Ernie Zakri), Hening Rindu (Marsha Milan) dan Bukan Lagi Kita (Nadeera Zaini).
Turut sama ke AJL39 ialah Saksama (Akim And The Majistret) Pujaanku (Masdo dan Aishah Aziz), Sengaja (Amir Masdi), Diam (Hael Hussaini) selain Benzooloo, Ghidd, Meerfly, MK K-Clique dan Tuju menerusi lagu Risiko.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!