PENYAMPAI radio dan pengacara Faizal Ismail percaya gabungan Nazrudin Rahman dan Sissy Iman mempunyai keistimewaan tersendiri dalam mengacarakan Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).
Faizal atau Mohd Faizal Ismail, 48, berpendapat pasangan berkenaan saling melengkapi dalam mengendalikan acara berprestij itu nanti.
Kata Faizal, pengalaman yang dimiliki Nazrudin atau lebih mesra dengan sapaan Naz pastinya menjadi faktor utama pihak produksi memilih dia sebagai pengacara AJL39.
Faizal kongsi pendapatnya sebagai individu pernah mengacara AJL.
"Menjadi pengacara ini satu tanggungjawab besar, terutama untuk acara berprestij seperti Anugerah Juara Lagu.
"Satu perkara yang kena tahu, bila dilantik akan ada orang tidak suka. Untuk Naz, dia lebih lama sebenarnya berbanding saya.
"Jadi mempertikaikan kredibiliti dia adalah sesuatu yang tidak patut kerana dia seorang yang layak. Sissy iman pula dia orang yang santai dan lepas, situlah kita lihat pihak produksi cuba seimbangkan," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Faizal Ismail pernah ‘bahan’ rakan hos di atas pentas, bincang dulu elak terasa hati
ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tak puas hati pemilihan hos AJL39, Sissy Imann anggap rezeki
Faizal yang mempunyai pengalaman mengendalikan AJL sebanyak enam tahun berturut-turut memberitahu latihan memainkan peranan penting dalam mencipta keserasian bersama.
Menurutnya, berlatih bukan hanya menghafal namun turut mengenali dan mengetahui sejarah mereka yang terlibat dalam acara itu nanti.
"Bukan malam itu yang penting, tapi persiapan ke arah itu yang penting. Sekurang-kurangnya perlu sebulan untuk berlatih.
"Saya sebelum ini, pernah digandingkan bersama Ally Iskandar, dan Cheryl Samad bertemu di belakang secara senyap-senyap untuk berlatih. Tanpa disuruh kami berlatih di pusat beli belah untuk cipta keserasian bersama.
Pengetahuan serta minat mengenai muzik itu lebih penting.
FAIZAL ISMAIL
PENGACARA
"Saya dengar pengacara sekarang ramai kurang berlatih menyebabkan kurang serasi. Pada malam itu mereka sepatutnya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan," ujarnya.
Menyedari penonton terbiasa dengan pengacara yang mahir melawak, Faizal memberitahu jenaka sememangnya perlu tetapi ia hanyalah rencah pengacaraan.
Jelasnya, minat dan pengetahuan terhadap muzik lebih utama dalam mengendalikan acara berprestij seperti itu.
"Lawak itu memang perlu tapi bukan keutamaan, kesilapan pengacara sekarang ini mereka menggunakan lawak itu lebih membuatkan ramai fokus kepada lawak sehingga lupa yang lain.
Faizal (kanan) bersama Ally Iskandar, dan Cheryl Samad pernah mengacara AJL suatu ketika dahulu.
"Lawak itu sepatutnya sekadar rencah tapi pengetahuan serta minat mengenai muzik itu lebih penting. Naz dan sissy saling seimbang.
"Dengan pengalaman dimiliki Naz pasti akan dapat membantu Sissy dan keadaan," kongsinya.
Sebelum ini, gandingan Sissy Iman bersama Naz Rahman sebagai pengacara malam kemuncak AJL39 mendapat pertikaian ramai.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!