HASRAT pelakon Lan Zailan menganjurkan sebuah bazar Ramadan di Bandar Saujana Putra, Selangor tidak kesampaian apabila hanya mendapat kelulusan selepas Allahyarham meninggal dunia pada 19 Disember tahun lalu.
Menantu Allahyarham, Mohammad Balqish atau mesra disapa Along, 42, berkata, arwah membuat permohonan mengadakan bazar itu kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) tahun lalu ketika sedang sakit.
Along memberitahu memandangkan ia telah mendapat kelulusan, mereka akan meneruskan acara tersebut sebagai merialisasikan impian arwah.
Selain berlakon, Lan juga aktif berniaga kerepek dan makanan lain.
“Masa arwah hidup dia ada uruskan satu tanah yang disewakan untuk permohonan tapak bazar Ramadan tapi lulus selepas arwah meninggal.
“Jadinya sekarang saya cuba untuk menunaikan hasrat tersebut walaupun arwah sudah tiada,” katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.
Berkongsi lanjut mengenai perkara itu, Along berkata, niat arwah mengadakan bazar berkenaan kerana ingin membantu rakan artis veteran mencari pendapatan tambahan dengan membuka gerai di bazar tersebut bersama-sama peniaga lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon Lan Zailan meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: Arwah Lan Zailan sempat tinggalkan pesan untuk anak-anak sebelum pergi, berbual dengan Ebby Yus menerusi ‘video call’
Malah disaat akhir arwah juga sentiasa mengingatkan Along supaya menyambung usaha dilakukannya itu.
"Ketika dia sudah sakit yang mana sudah tidak mampu bangun pun dia masih sempat lagi mengingatkan saya untuk meneruskan usaha dia.
"Tujuan dia adakan bazar ini sebab nak membantu rakan-rakan artis sama-sama berniaga sambil membantu peniaga lain," luahnya.
Bagi memperingati arwah, Along juga merancang mengadakan pameran melibatkan tentang Allahyarham di bazar tersebut.
Selalunya arwah akan turut cari peniaga atau rakan artis.
MOHAMMAD BALQISH
MENANTU LAN ZAILAN
"Selain jadikan Allahyarham duta, saya juga rancang nak adakan pameran mengenai arwah di sana.
"Mungkin akan ada baju arwah yang dijual serta beberapa barang peninggalan yang boleh dilihat peminatnya," jelasnya.
Along bagaimanapun meluahkan rasa kecewa apabila bazar ini seolah-olah tidak mendapat sambutan memandangkan penyewa tapak masih belum mencapai sasaran ditetapkan.
Kata Along, dia ada mengajak beberapa rakan artis turut serta namun masih belum mendapat sebarang jawapan.
Along masih mencari peniaga yang ingin menyewa tapak.
"Selalunya arwah akan turut cari peniaga atau rakan artis yang ingin berniaga bersama kerana dia banyak kenalan tapi kali ini penyewa belum ramai.
"Kami masih ada beberapa tapak yang masih kosong. Kawasan itu memang stategik dan bersebelahan universiti, harga tapak disediakan juga sangat berpatutan," luahnya.
Untuk rekod, arwah Lan Zailan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kanser pankreas tahap empat pada 19 Disember tahun lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!