PRESIDEN Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon Sharnaaz Ahmad berkenaan isu pemakaian tetamu lelaki yang menyerupai wanita ketika hadir ke malam Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) pada Ahad lalu.
Kecewa dengan pandangan yang diutarakan aktor tersebut, Jurey berkata Sharnaaz tidak seharusnya menyalahkan Menteri Komunikasi iaitu Fahmi Fadzil berhubung isu berkenaan.
Justeru itu, Jurey mendesak Sharnaaz menarik semula kenyataan tersebut serta membuat permohonan maaf kepada Fahmi.
PTVM mahu Sharnaaz buat permohonan maaf.
"Dia (Sharnaaz) telah menuding jari secara tidak berasas terhadap Fahmi Fadzil, dan menggunakan bahasa yang tidak beradab dalam kenyataan tersebut.
"Sehubungan dengan itu pihak PTVM mendesak Sharnaaz untuk segera menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Fahmi atas keceluparan dan tuduhan yang tidak berasas berkenaan," katanya menerusi satu kenyataan media.
Dalam pada itu, Jurey berkata sebagai seorang figura dikenali, Sharnaaz perlu bersikap lebih bertanggungjawab dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial.
Malah, aktor itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan sehingga berlaku perpecahan khalayak.
ARTIKEL BERKAITAN: Tetamu lelaki menyerupai wanita di AJL39, TV3 mohon maaf janji perkara sama tidak akan berulang
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki hadir acara pakai fesyen feminin dianggap melampaui batas, tak patut dinormalisasi
"Sharnaaz harus menunjukkan teladan yang baik dengan bersikap lebih bertanggungjawab dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan.
"Dia juga seharusnya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan awam agar boleh menyampaikan teguran secara lebih berhemah dan berfakta tanpa menyinggung mana-mana pihak.
"Pengaruh dan kedudukan Sharnaaz sebagai figura awam seharusnya digunakan untuk menyebarkan mesej yang membina dan bukan menimbulkan kekeliruan serta perpecahan di kalangan masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, pihak PTVM menegaskan penganjuran AJL39 adalah bawah bidang kuasa sebuah badan penyiaran swasta dan tidak mempunyai kaitan dengan Kementerian Komunikasi.
Oleh itu, tindakan menyalahkan Fahmi berhubung isu tersebut adalah tidak relevan dan menunjukkan kurangnya pemahaman mengenai struktur industri penyiaran negara.
Fesyen lelaki menyerupai wanita di AJL39 hangat diperkatakan netizen.
Sebelum ini, Sharnaaz menerusi akaun Instagram meluahkan rasa bimbang mengenai pemakaian tetamu lelaki yang menyerupai wanita di AJL39.
Malah, Sharnaaz juga meminta Fahmi mengambil langkah menjalankan tugas sebaiknya bagi menangani permasalahan tersebut.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Hal ini juga telah dipanjangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar bertanggungjawab berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!