KEMESRAAN dipamerkan personaliti media sosial, Ameera Khan dan teman lelakinya yang juga aktor Indonesia, Jefri Nichol dianggap keterlaluan dan seolah-olah tiada perasaan malu.
Pengacara Neelofa menjelaskan sebagai kakak dia sudah menjalankan tanggungjawab dalam menasihati adiknya itu.
Bagaimanapun kata Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 36, perkara tersebut tidak perlu dijelaskan kepada umum dan cukup hanya keluarga mengetahuinya.
Ameera dan Jefri mula terbuka berkongsi kisah cinta kepada umum sejak tahun lalu.
“Sebenarnya tidak elok untuk saya bercakap apa-apa mengenai perkara ini dan saya tidak mahu komen pun berkenaan ini (Ameera dan Jefri).
“Tetapi saya cuma mahu anda tahu, sebagai seorang kakak, saya sudahpun buat bahagian saya. Saya tahu apa yang sesuai untuk saya buat.
“Saya rasa apa yang kami (keluarga) cakap kepada Ameera tidak perlu dimaklumkan kepada umum,” katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa kongsi doa dapat jodoh... Ringkas saja tapi kena konsisten!
ARTIKEL BERKAITAN: Debaran makin terasa, tahun ini Neelofa pilih Nadeera, Marsha dan Hael menang AJL39
Neelofa memaklumkan perkara itu ketika ditemui selepas majlis The Muslim World Women’s Summit: Voices of H.E.R Festival dan Anugerah Ibu Zain 2025 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Rabu.
Neelofa berkata, kecaman netizen terhadapnya selaku kakak yang kini sudah berubah ke arah kebaikan tidak mengganggunya.
“Benda ini tidak mengganggu saya Alhamdulillah. Tetapi bukan bermakna kami tidak peduli teguran mereka, kami cakna,” ujarnya.
Susunan takdir Allah boleh diubah menjadi baik dengan doa.
NEELOFA
PENGACARA
Dalam masa sama, Neelofa juga meminta supaya orang ramai tidak terus mengecam dan mendoakan yang baik-baik buat Ameera.
“Janganlah kecam (Ameera). Kalau suka atau tak, tolong doakan yang baik-baik. Susunan takdir Allah boleh diubah menjadi baik dengan doa.
“Kami adik-beradik nak yang terbaik untuk semua,” ujarnya.
Neelofa sudah jalankan tanggungjawab sebagai kakak.
Sebelum ini, Ameera menerima kecaman hebat apabila memaparkan aksi mesra yang dianggap keterlaluan bersama Jefri.
Lebih mengejutkan apabila aktor itu memuat naik satu video yang menunjukkan dia sedang mencium pipi Ameera.
Dalam perkembangan lain, Neelofa menzahirkan rasa syukur selepas menerima Anugerah Wanita Inspirasi pada Anugerah Ibu Zain 2025.
Neelofa terima Anugerah Wanita Inspirasi.
Kata Neelofa, itu merupakan satu tanggungjawab besar buatnya memandang selaku orang dikenali, tindakan dan gerak gerinya sering mendapat perhatian ramai.
“Saya sangat berbesar hati menerima anugerah ini. Saya rasa perjalanan untuk memberi inspirasi kepada orang bukanlah senang.
“Macam saya, perlu menghadapi pelbagai ujian, kecaman dan kritikan sepanjang perjalanan saya untuk memberi inspirasi,” ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube