LELAKI tampil berpakaian menyerupai wanita pada acara karpet merah Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) pada Ahad lalu disifatkan sebagai sengaja mencari perhatian.
Pempengaruh Ucop atau Mohd Yusof Hashim, 32, percaya tetamu acara berprestij seperti AJL sepatutnya cakna mengenai etika dan bukannya cuba membayangi dengan perkara tidak sepatutnya.
“Semuanya mengenai etika, apatah lagi acara itu majlis orang lain dan kita tak boleh nak 'overshadow'.
Ucop akui susah untuk berubah kerana orang lain.
“Bagi saya ia berbalik kepada mereka yang datang (ke majlis itu),” katanya kepada mStar.
Ucop berkongsi perkara itu ketika ditemui di set penggambaran filem Wantugo di Shah Alam pada malam Rabu.
Menurut Ucop, golongan seperti ini tidak akan pernah pupus malah teguran tidak akan membawa sebarang perubahan melainkan atas kemahuan diri.
ARTIKEL BERKAITAN: Influencer lelaki bermekap seperti wanita, Ucop nasihat fikir dulu sebelum berkongsi... “Sekadar content tiada masalah”
ARTIKEL BERKAITAN: "Misi saya untuk hiburkan orang" - Ucop berangan buat persembahan di Anugerah MTV
"Mereka ini akan selalu ada dan tak akan berhenti, boleh jadi mereka ini rakan atau kenalan kita.
"Nak marah tidak boleh, kalau tegur pun hanya sekadar tegur tapi nak ambil sebagai pengajaran atau tidak terpulang pada diri mereka sendiri," jelasnya.
Dalam pada itu, Ucop berpendapat pihak yang sepatutnya tidak perlu memberi tumpuan kepada golongan itu hanya kerana mahu mengejar 'engagement' di media sosial.
Mereka yang ada pilihan.
UCOP
PELAKON/PEMPENGARUH
Katanya, acara berkenaan sepatutnya memberi tumpuan kepada pengkarya industri muzik dan bukan golongan tersebut.
"Tapi bila masuk ke acara berprestij ini, siapa yang ada kuasa di situ? Mereka yang ada pilihan untuk dedahkan perkara itu atau tidak.
"Netizen marah sebab mereka nampak golongan itu di acara berkenaan tapi kalau tak ada rekod tak ada yang tahu.
"Kebimbangan saya bukan golongan itu tapi mereka yang ketengahkan. Sudah tahu perkara itu jadi bahan bualan tapi masih kejar 'engagement' media sosial," luahnya.
Penampilan beberapa lelaki semasa hadir ke AJL39 jadi bualan.
Sebelum ini, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil memberi kenyataan kerana isu berkenaan menimbulkan keresahan dan menyentuh sensitiviti agama Islam serta budaya.
Malah, hal ini juga telah dipanjangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab mengawal selia industri di negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Sementara itu TV3 dalam satu kenyataan pada Selasa memohon maaf atas kejadian tersebut dan berjanji insiden sama tidak akan berulang pada masa depan.
Kenyataan itu juga menegaskan pihak mereka mematuhi garis panduan ditetapkan dan tidak membenarkan mana-mana penonton yang hadir mengenakan pakaian bertentangan jantina.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube