ANUGERAH Juara Lagu ke-39 (AJL39) sekali lagi mencipta sejarah baharu apabila menampilkan struktur pentas sepanjang 120 kaki bersamaan dua gelanggang futsal.
Pengurus Projek AJL39 iaitu Russel Mark Rodrigues berkata edisi kali ini tampil lebih megah dengan pelbagai pembaharuan dan cabaran baharu bagi menjadikan setiap persembahan lebih berani, segar dan penuh keunikan.
Kata Russel, tanggungjawab yang diberikan juga bukan mudah untuk dilaksanakan tanpa keberanian dan semangat kerjasama setiap pasukan dalam merealisasikan impian besar mereka.
Pentas AJL tampil lebih megah dalam edisi ke-39.
"Mengemudi acara berprestij ini sebagai Pengurus Projek bukanlah tugas mudah. Ia memerlukan keberanian untuk bermimpi besar, ketegasan dalam membuat keputusan serta kecekalan menghadapi cabaran dengan semangat kerja berpasukan yang jitu.
"Hasilnya, AJL39 bukan sekadar sebuah persembahan tetapi sebuah manifestasi kreativiti, ketahanan dan keajaiban muzik yang mampu menyentuh jiwa," katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu, AJL39 turut mencipta satu pengalaman baharu dengan satu inovasi berani, iaitu orkestra ditempatkan di kedua-dua sisi pentas buat julung kalinya, mencetuskan transformasi dalam dimensi persembahan muzik.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Hening Rindu’ juara AJL39, Vokal Terbaik milik Ernie Zakri
ARTIKEL BERKAITAN: Hael Husaini bijak ‘cover’ terjatuh, Hafiz Suip pula terkucil... Ini 10 momen menarik sepanjang AJL39
Konsep unik ini bukan hanya sekadar memberikan keseimbangan visual yang lebih dinamik, tetapi juga memperkayakan pengalaman audio secara menyeluruh, menghasilkan lapisan bunyi yang lebih mendalam dan imersif.
Ia secara tidak langsung menjadi satu pendekatan progresif yang memperkukuh kedudukan AJL sebagai pentas muzik paling berprestij di Malaysia.
Pada 16 Februari lalu, lagu berjudul Hening Rindu nyanyian Marsha Milan yang merupakan ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh muncul sebagai pemenang AJL39 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 berserta trofi.
Gelaran naib juara pula disandang oleh Nadeera menerusi lagu Bukan Lagi Kita ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh, manakala tempat ketiga milik Akim & The Majistret menerusi lagu Saksama.
Sementara itu, Ernie Zakri memenangi kategori Vokal Terbaik menerusi lagu Aura dan Aina Abdul dipilih sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik (Puas Sudah).
AJL39 berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dan disiarkan secara langsung menerusi TV3.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!