KESIBUKAN dalam dunia politik sejak lima tahun lalu antara faktor membuatkan penyanyi Krisdayanti sudah lama tidak muncul mengadakan konsert solo berskala besar.
Bukan bermakna dia mahu meninggalkan kerjaya seni, bagi Krisdayanti, 50, setiap tawaran yang diterima harus diteliti secara baik agar tidak menghampakan peminat.
"Tak mungkin saya hanya berlatih sekali atau dua jika mahu membuat konsert. Keutamaan buat masa sekarang adalah politik, jadi saya tidak berani terima tawaran dengan mudah. Sebab itu sudah lapan tahun saya tidak mengadakan konsert di Malaysia.
Krisdayanti sentiasa ambil tahu perkembangan dunia seni.
"Bagaimanapun saya masih tetap menyanyi dan banyak membuat persembahan di majlis tertutup. Jika ada terima tawaran konsert saya harus fikir dengan teliti," ujarnya.
Biarpun sibuk dengan dunia politik, Krisdayanti berkata dia masih mengambil tahu mengenai perkembangan dunia seni termasuk kehadiran artis-artis baharu.
Malah dia juga sempat berseloroh bertanyakan tentang nilai harga seorang penyanyi masa kini dalam menerima tawaran konsert.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada niat ‘overshadow’ Liza Aziz, Krisdayanti harap penonton GV11 tak marah
ARTIKEL BERKAITAN: Krisdayanti buat pusingan U, kembali bertanding rebut jawatan Datuk Bandar selepas umum tarik diri
Dalam masa sama, penyanyi ini juga percaya masih ada peminat yang akan terus memberi sokongan meskipun dia tidak tampil dengan lagu baharu.
"Saya sentiasa pantau dan tahu muzik berkembang dan berubah. Saya juga sempat bertanya kepada rakan-rakan berapa julat harga tawaran konsert sekarang. Adakah sama seperti dulu?
"Rasanya peminat di Malaysia bukan hanya kenal sebab lagu. Mereka tahu tentang peribadi saya melalui sosial media. Itu membuat saya lebih dekat dengan peminat," ujarnya.
Krisdayanti teruja bakal bertemu peminat di Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Krisdayanti bakal mengadakan konsert solo Cinta Nostalgia Krisdayanti yang dijadualkan berlangsung pada 22 Jun di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Meluahkan rasa teruja, Krisdayanti akan membawakan kira-kira 30 buah lagu pada acara berkenaan sebagai mengubati rindu peminat.
"Saya akui bertuah kerana terus disayangi dan diterima baik. Saya berharap terus mendapat sokongan anda semua. Saya akan membawa penonton mendengar dan kembali mengingati lagu-lagu yang penuh nostalgia cinta," luahnya.
Tiket akan mula dijual pada 23 Februari di laman web ubertickets.