SUSULAN dihalau membuat persembahan busking di bazar Ramadan, bekas pemain dram kumpulan Caliph Buskers iaitu Fendy Adlun berasa kesal kerana ia merupakan satu-satunya mata pencariannya di bulan puasa.
Fendy, 34, berkata, dia boleh mendapat pendapatan sehingga RM100 sehari sekiranya membuat persembahan di bulan puasa berbanding hari biasa.
"Saya kesal juga kerana itu sahaja mata pencarian (bermain muzik) yang saya ada, tambah-tambah lagi di bulan puasa kita kurang persembahan.
Fendy berharap pihak berkenaan mengambil maklum tentang isu busker di bazar Ramadan.
"Kalau busking pada hari-hari biasa dapatlah dalam RM60-70 tetapi kalau bulan puasa ni dapatlah lebih sikit dalam RM100 lebih.
“Itulah satu-satunya mata pencarian yang ada, bolehlah buat raya dan balik kampung," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Fendy berkata dia dihalau petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sewaktu membuat persembahan busking di Bazar Ramadan Bandar Tun Razak pada Ahad lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Lantang bersuara punca salah faham, Fendy umum bukan lagi drummer Caliph Buskers
ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu ikut emosi, pengurus dedah punca Fendy tidak lagi bersama Caliph Buskers... “Tiada istilah dibuang”
Kata Fendy, sebelum ini dia tidak pernah berdepan dengan situasi tersebut namun selepas DBKL mengambil alih pengurusan bazar, mereka mengeluarkan larangan busker tidak boleh membuat persembahan.
"Saya sudah bermain muzik di bazar tersebut selama tiga tahun. Sebelum ini tempat itu diuruskan oleh persatuan penjaja tetapi bermula tahun ini hampir semua kawasan di Kuala Lumpur diuruskan oleh DBKL.
"Seperti tahun-tahun sebelum ini kita akan minta izin daripada pihak penganjur dan tak ada masalah.
Kalau busking pada hari-hari biasa dapatlah dalam RM60-70 tetapi kalau bulan puasa ni dapatlah lebih sikit dalam RM100 lebih.
FENDY ADLUN
BEKAS PEMAIN DRAM CALIPH BUSKERS
“Tetapi tahun ini ada pula masalah katanya tidak boleh busking di kawasan itu kerana tidak dibenarkan," ujarnya.
Meskipun mempunyai permit yang diperoleh sendiri menerusi DBKL, namun dia masih tidak dibenarkan membuat persembahan.
Fendy berkata dia masih meneruskan membuat persembahan seperti biasa dan reda sekiranya ada pihak berkuasa yang mahu menyita alat muzik mereka selepas ini.
"Buat masa ini saya main muzik seperti biasa dan bawa sahaja permit yang saya ada. Sekiranya disita saya tidak boleh buat apa-apa.
Fendy kesal mata pencariannya sebagai busker terganggu sewaktu bulan Ramadan.
"Saya reda kalau itu bukan rezeki saya. Ini pun sudah dua hari tak dapat main muzik kerana hujan jadi baru dapat buat persembahan untuk tiga hari," katanya.
Pada Selasa lalu, Fendy memuat naik sebuah video di Instagram miliknya meluahkan rasa kesal apabila DBKL melarang aktiviti busking di bazar Ramadan.
Fendy turut menunjukkan permit kebenaran busking yang dimohon menerusi DBKL dengan bayaran RM50 setahun tetapi masih tidak dibenarkan membuat persembahan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!