PENYANYI Datuk Seri Rossa tidak melihat aksi berpegangan tangan dan pinggangnya dirangkul bintang Korea Selatan iaitu Jackson Wang ketika membuat persembahan menerusi program Indonesian Idol baru-baru ini sebagai berlebihan.
Sebaliknya Rossa atau Sri Rossa Rosliana Handayani, 47, berkata, persembahan mereka pada malam tersebut hanya sekadar menghayati ketika menyampaikan lagu Tegar.
"Apa dipersembahkan di atas pentas hanyalah lakonan sahaja, ibaratnya sedang berlakon dalam sebuah filem. Gaya dan tarian dibuat mengikut rentak muzik.
Aksi persembahan Rossa dan Jackson mendapat pelbagai reaksi netizen.
"Ada beberapa pergerakan kami sudah dirancang lebih awal tetapi banyak juga pergerakan dan aksi spontan.
"Saya tidak berlebihan apa dipersembahkan hanya batasan sebagai kawan atau mungkin ibarat seorang kakak dan adik sedang menyanyi bersama," katanya kepada mStar.
Rossa berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama Rossa yang diadakan di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada malam Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Penuh kejutan dan kelainan, Rossa cerita perjalanan seni 28 tahun menerusi konsert solo ‘Here I Am’
ARTIKEL BERKAITAN: Dah 15 tahun cerai, Yoyo tak malu mengaku masih sayang Rossa
Dalam pada itu, Rossa memberitahu dia memang mempunyai hubungan akrab dengan penyanyi-penyanyi dari Korea Selatan dan secara tidak langsung keserasian itu mula wujud.
"Kalau di Indonesia sendiri mereka sudah terbiasa melihat saya menyanyi seperti itu (mesra). Kebetulan kawan-kawan saya dari Korea Selatan juga ramai.
"Jadi setiap kali mereka (selebriti Korea) ini datang ke Indonesia sudah pasti mereka akan mencari saya. Di Indonesia saya sudah dianggap seperti duta persahabatan," ujarnya.
Rossa dan Jackson mempunyai hubungan akrab sebagai sahabat.
Dalam perkembangan lain, Rossa juga bakal menganjurkan konsert 'Here I Am' pada 14 Jun depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert 'Here I Am' ini turut mengundang penyanyi jemputan termasuk Ariel Noah dari Indonesia serta Ernie Zakri dan MK K-Clique.
Konsert tersebut adalah kesinambungan kejayaan siri konsert terdahulu iaitu Rossa 25 Shinning Years pada 2022 dan Another Journey: The Beginning (2023) yang menarik lebih 80,000 penonton di tiga negara.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!