suria

Peminat di Sabah tak puas hati kena beli barang kalau nak bergambar, Zain Saidin ada sebab letak syarat

Peminat luah rasa tidak puas hati kerana tidak boleh bergambar dengan Zain dan Rozita.

ISU peminat mahu bergambar dengan artis kegemaran mereka di gerai jualan bukan perkara baharu.

Ramai meluahkan rasa kurang senang apabila artis mengenakan syarat perlu membeli produk jualan mereka sebelum dapat bergambar bersama.

Bagi pelakon Zain Saidin, dia dan isteri Rozita Che Wan bukan berlagak tetapi terpaksa mengenakan syarat tersebut kerana mahu menampung kos tersembunyi yang terpaksa ditanggung.

Kata Zain, ini termasuklah tiket penerbangan dan tempat penginapan sepanjang mereka berniaga di Borneo Mega Raya Fest 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.

Zain terpaksa meletakkan syarat ketika mereka turun berniaga.

"Kami tak berlagak tapi kena faham satu perkara. Kami datang ke event ini, bukan naik pentas menyanyi dan balik. Tidak. Kalau penyanyi dijemput ke sini mereka dibayar.

"Tetapi kami datang sini berniaga buka booth, kami tidak dibayar apa-apa sebaliknya kami kena keluar duit untuk tiket penerbangan, penginapan, duit makan, kami tak ditaja.

"Kami kena bayar gaji pekerja, pengangkutan barang-barang untuk sampai ke sini dan semua itu pakai duit.

"Bila kebanyakan orang datang hendak bergambar sahaja kemudian balik, jadi kami datang sini untuk apa sebenarnya?," katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Kurang ‘job’ lakonan, Zain Saidin aktif main TikTok... “Mulanya Zaquan Adha ajak lawan PK”

ARTIKEL BERKAITAN: Rozita Che Wan belum langsai pinjaman Mara, masih ada hutang RM443,392

Zain berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok miliknya. 

Dalam pada itu, Zain menjelaskan peminat yang membeli produk secara tidak langsung menunjukkan tanda sokongan terhadap perniagaan diusahakan oleh mereka suami isteri. 

Jelas Zain, dia tidak keberatan bergambar bersama peminat kerana menganggap ia sebagai hadiah percuma buat peminat.

"Sila faham kami datang sini sebagai peniaga, kelebihan kami hanya sebagai artis boleh bergambar dengan kami sekiranya anda sokong kami dengan beli produk kami. 

Zain dan Rozita meletakkan syarat sebelum bergambar.

"Kena ingat kami pun kena sara hidup sendiri, kami artis bukannya duit jatuh datang ke rumah. Kami juga kena usaha, bekerja," ujarnya. 

Pelakon drama Oh My English! ini bagaimanapun memberitahu tidak kisah sekiranya ada peminat mahu melemparkan kecaman atas tindakannya itu. 

"Kami tak paksa anda beli produk kami, jangan paksa kami bergambar dengan anda. Semudah itu sahaja, kami hargai anda sebagai peminat," katanya. 

Rozita dan suami kini aktif berniaga.

Sebelum ini, seorang peminat meluahkan rasa kesal apabila tidak dapat bergambar dengan Zain dan Rozita di SICC Kota Kinabalu. 

Menurut peminat tersebut, Zain memintanya membeli produk terlebih dahulu sebelum dapat bergambar bersama. 

Pun begitu peminat itu pulang dengan perasaan hampa kerana tidak mampu membeli produk jualan pasangan suami isteri itu yang rata-ratanya bernilai lebih RM200.

Borneo Mega Raya Fest 2025 berlangsung sejak 19 Mac lalu sehingga 29 Mac 2025.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain