suria

“Bergegar macam gempa bumi” - Aidil Abd Ghaffar dan keluarga lari sehelai sepinggang, 4 buah kereta miliknya cair

Aidil dan keluarga cemas lihat keadaan rumah yang memanas.

BEKAS personaliti TV3 iaitu Aidil Abd Ghaffar bersyukur apabila dia bersama empat orang ahli keluarganya terselamat daripada kebakaran saluran gas di Putra Height, Subang Jaya pada pagi Selasa.

Menurut Aidil, 57, isterinya bersama dua anak berserta menantu terpaksa keluar sehelai sepinggang selepas menyedari gegaran dan bahang panas seolah-olah letusan gunung berapi dari dalam kediamannya.

“Alhamdulillah ahli keluarga saya dapat diselamatkan, saya gerakkan mereka dahulu untuk cari kawasan selamat. Rumah saya dengan kawasan kejadian kira-kira 200 meter sahaja.

Aidil dan keluarga ketika sedang selamatkan diri.

“Saya pun hanya sedar kejadian sekitar 8.20 pagi tadi, rasa macam gunung berapi meletup... Habuk berterbangan dan terasa bahang.

“Rumah dan pintu bergegar macam gempa bumi," katanya ketika dihubungi mStar.

Berkongsi lebih lanjut, Aidil yang juga bekas wartawan program Melodi memberitahu pada awalnya mereka cemas mencari tempat selamat memandangkan kawasan tersebut hanya memiliki satu laluan keluar dan masuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa kebakaran lari bawa bayi, kucing pula hilang... Bingung pintu bergegar tapi tiada angin

ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran saluran paip gas semakin berkurang, saksi kongsi video gelongsor taman permainan cair

Pun begitu, mereka bersyukur apabila bertemu pihak bomba dan menerima arahan ke kawasan selamat sebelum dibawa menaiki ambulans ke Pusat Pelindungan Sementara (PPS) di Masjid Putra Height.

“Sekarang ini kami bersama 54 keluarga lain akan tinggal di PPS sehingga segala siasatan selesai.

“Buat masa ini kami memang tak boleh fikir apa-apa lagi," kongsinya.

Dalam pada itu, Aidil memberitahu dia tidak mampu menghitung kos kerugian terpaksa ditanggungnya buat masa ini.

Kalau ambil kira emosi dan trauma ia akan memakan jumlah ratusan ribu.

AIDIL ABD GHAFFAR

BEKAS PERSONALITI TV3

Jelasnya, kediamannya mengalami kerosakkan selain empat buah kereta miliknya musnah disebabkan kebakaran itu.

“Rumah terlindung daripada dua barisan kediaman lain, jadi tidak terlalu terdedah dengan api tetapi 20 buah kediaman lain semua musnah.

"Ketika menyelamatkan diri tadi hanya perasan kerosakkan pada bahagian luar rumah seperti dinding mengelembung dan syiling runtuh.

Aidil dan keluarga menetap di PPS pada ketika ini.

“Itu tidak termasuk empat buah kereta milik kami semuanya habis mencair jadi kerugian pun saya tak berani nak cakap.

“Kalau ambil kira emosi dan trauma ia akan memakan jumlah ratusan ribu," ujarnya.

Sebelum ini, Aidil berkongsi dia dan keluarga mencari kawasan selamat selepas kediamannya sudah tidak sesuai untuk didiami akibat insiden berkenaan. 

Terdapat mangsa yang cedera akibat kebakaran.

Pada Selasa, mStar melaporkan berlaku kebakaran saluran paip gas bocor di Jalan Putra Harmoni Putra Height, kira-kira 8.10 pagi.

PETRONAS Gas Berhad (PGB) dalam satu kenyataan kemudiannya mengesahkan berlaku kebakaran di saluran paip utama di lokasi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir ke lokasi kejadian, kira-kira 4.50 petang, Selasa.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari, Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Michelle Ng dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain