SETIAP tahun sambutan Aidilfitri tidak akan lengkap tanpa iklan menyentuh jiwa atau mencuit hati dalam membangkitkan semangat Syawal.
Tahun ini cukup banyak iklan raya yang dihasilkan namun antara mencuri perhatian penonton adalah Astro Raya 2025 - Lain Macamnya Raya.
Apa menariknya tentang iklan arahan pengarah Hyrul Anuar itu, ia menampilkan ramai pelakon terkenal seperti Erra Fazira, Zizan Razak, Nadia Aqilah, Watie Sadali dan Joey Daud.
Namun apa mencuri perhatian adalah penampilan pelakon utamanya iaitu Ellie Suriaty yang jauh daripada jangkaan penonton tentang iklan hari raya.
Enggan menggunakan wajah stereotaip, Hyrul memberitahu dia yakin dengan kebolehan lakonan Ellie sebagai salah seorang pelakon wanita berpengalaman.
Ellie dipilih sebagai watak utama dalam iklan Lain Macamnya Raya.
Malah kata Hyrul, dia menggunakan Ellie sebagai salah satu formula bagi menarik perhatian penonton dan ternyata percaturan itu berhasil.
"Biasanya iklan raya muka yang selalu kita akan lihat seperti pelakon Fatimah Abu Bakar dan Dian P. Ramlee. Wajah mereka sudah boleh dijangka akan keluar dalam iklan raya setiap tahun.
"Sewaktu perbincangan dan saya sebut nama Ellie, semua orang macam suka sebab itu adalah nama yang tidak dijangka untuk berlakon iklan raya.
"Jarang kita lihat Ellie dalam iklan raya, selalunya dia banyak keluar dalam filem, drama, telemovie... Jadi ini memang antara salah satu formula saya," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Netizen puji ‘Project: Exit’ dan Astro wujudkan inisiatif AI rakam respons pelakon kepada pengguna media sosial
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga hari tayangan, ‘Kahar: Kapla High Council’ raih kutipan RM3 juta
Menjalani penggambaran selama tiga hari di sekitar Kuala Selangor dan Hulu Langat, Hyrul meluahkan rasa syukur apabila Astro Raya 2025 - Lain Macamnya Raya dapat disempurnakan dengan lancar.
Kata Hyrul dia tidak mempunyai sebarang masalah sepanjang penggambaran namun ada perasaan gementar apabila perlu mengarahkan nama-nama besar yang terlibat dalam iklan tersebut.
"Perasaan gementar itu disebabkan sudah lama tidak bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri.
"Disebabkan itu juga saya lebih berhati-hati apabila mengarah mereka dan bekerja dengan pelakon berpengalaman kita kena jaga bahasa dengan mereka.
"Tapi Alhamdulillah kami semua seronok sepanjang penggambaran iklan tersebut," ujarnya.
Hyrul diberi kebebasan untuk berkarya dalam iklan Astro Raya 2025.
Dalam pada itu, Hyrul memberitahu pengalaman mengarahkan iklan raya terbitan Astro juga mudah kerana dia diberi kebebasan dalam berkarya.
Disebabkan kebebasan itu juga, Hyrul lebih selesa berkongsi idea dengan pihak pengurusan dalam memastikan jalan cerita iklan tersebut dapat diterjemahkan dengan baik.
"Ada satu babak Erra Fazira ditumbuk memang tidak ada dalam storyboard tapi apabila di set penggambaran saya ubah dan Astro terima cadangan itu.
"Syukur pihak Astro terima cadangan dan idea saya untuk menambah baik jalan cerita iklan tersebut dan komen diberikan juga semuanya positif dan membina," katanya.
Astro Raya 2025 - Lain Macamnya Raya turut menampilkan barisan pelakon baharu seperti Mierul Aiman, Evertts Gomes, Qasrina Karim dan Bella Dowanna.
Astro Raya 2025 - Lain Macamnya Raya boleh ditonton di YouTube Astro Malaysia.
Iklan Raya Astro 2025 mengisahkan tentang Jumaah Abdul Majid lakonan Ellie iaitu seorang ibu tunggal beranak tiga dengan tradisi hari raya yang sama setiap tahun.
Ini termasuk mengenakan baju raya berwarna merah jambu selain juadah raya wajib dihidangkan seperti rendang, lemang dan dodol.
Namun apabila anak-anaknya berkahwin, tradisi itu tergugat kerana menantu-menantunya ingin membawa tradisi keluarga mereka ke rumah Jumaah.
Bermulalah perjalanan emosi Jumaah dalam mencari apa sebenarnya yang penting, berpegang teguh pada tradisi atau berubah untuk kebahagiaan keluarga.
Tradisi keluarga Jumaah tergugat selepas kehadiran menantunya.
Ditayangkan sejak 12 Mac lalu, orang ramai boleh menonton iklan tersebut di platform YouTube Astro Malaysia.
Selain iklan Astro Raya 2025 - Lain Macamnya Raya, Astro turut menyajikan 12 telefilem raya baharu bermula 1 Syawal ini menerusi saluran Astro Ria, Prima dan Ceria.
Antara yang boleh dinantikan sepanjang Raya ini termasuk telefilem Rapun, Ayah Jangan Nangis, Terculik Sana Tertukar Sini, Jemaah Penanggal Kampung Lenggong, Pajak Raya dan Setia di Hujung Ingatan.
Turut ditayangkan termasuk Cinta Untuk Sekali Lagi Raya, Andai Tiada Dia Raya, Pulau Cinta Syawal, Dia Punya HatiC Bintang Dari Beaufort dan OSOM.
Layari astroraya.com.my untuk maklumat lanjut mengenai kandungan Raya Astro 2025.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!