suria

Salma Asis belum menyerah kepada takdir, susun strategi agar tak dilupakan

Salma mahu tampil berbeza dalam lagu baharu.

HAMPIR 15 tahun bergelumang dalam bidang seni, penyanyi Salma Asis akur namanya kurang menyerlah walaupun pernah bergelar juara program realiti.

Bagaimanapun kata Salma atau Salma Andi Asis, 35, situasi itu tidak membuatkan dia patah semangat sebaliknya terus rancak menyusun pelbagai perancangan.

Apatah lagi kata Salma, dia kini bernaung dengan syarikat rakaman Rusa Music dan percaya pihak pengurusan dapat menaikkan kembali namanya dalam bidang seni.

"Sebelum ini lagu-lagu saya lambat dilancarkan walaupun hampir setiap tahun ada karya baru. Perancangan telah disusun baik, tetapi ia berlaku sebab keadaan tidak mengizinkan. 

Salma terus rancak atur langkah dalam dunia seni. 

"Jadi kali ini saya bersama syarikat rakaman telah susun strategi. Kalau boleh tak mahu perkara sama berulang sehingga orang lupa atau ingat saya hilang dalam industri," ujarnya.

Salma pernah menjuarai program Mentor musim kelima pada 2011 selain juara pertandingan Tiga Juara pada 2017.

Tahun lalu, Salma yang bergandingan dengan Ayie Elham (Floor 88) menerusi program Famili Duo musim keempat dan berjaya mendapat tempat kedua.

ARTIKEL BERKAITAN: Salma Asis belum menyerah, lagu baharu fokus penghayatan bukan nada tinggi 

ARTIKEL BERKAITAN: Kecewa nama kurang dikenali, Salma beralih cuba genre rock pula - “Balada tak bawa tuah”

Kemunculan menerusi program itu kembali membuatkan namanya menjadi sebutan peminat dan Salma mengambil peluang itu untuk membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi. 

"Syukur selepas FD4 perjalanan kerjaya semakin baik. Banyak juga tawaran persembahan. Cuma bulan Ramadan lalu saya lebih banyak meluangkan masa di rumah bersama keluarga. 

"Peluang yang ada ini saya gunakan sebaik mungkin. Masih dalam perancangan untuk keluar lagu baru tetapi kali ini bukan lagi genre balada," jelasnya.

Kemunculan dalam FD4 naikkan semula nama Salma. 

Sementara itu, Salma juga sedar kepentingan media sosial selain perlu tampil dengan lagu yang mempunyai potensi tular dalam kalangan pendengar.

Namun Salma berkata dia tidak akan sesekali cuba mencipta kontroversi hanya mahu mengejar populariti.

"Kalau boleh saya pun mahu lagu saya tular dalam kalangan pendengar tapi tak mahulah terkait dengan kontroversi.

"Bukan apa ia boleh memberi impak kepada keluarga," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain