suria

Rumah terbakar pada hari raya kedua, pelakon Charlie Nu'man dan 6 orang anak terpaksa berteduh di penempatan sementara

Charlie bersama enam orang anak selamat daripada kejadian kebakaran di kediaman mereka.

KERIANGAN menyambut Syawal terhenti buat pelakon Charlie Nu'man apabila kediamannya di Gombak Setia, Selangor hangus dijilat api dalam kejadian pada hari raya kedua lalu.

Menceritakan kejadian, Charlie atau Nu'man Mohd Salleh, 71, berkata, dia tersedar bahagian belakang rumahnya disambar api dan cuba memadamkan kebakaran dengan bantuan jiran dan orang ramai.

Tidak hanya rumahnya, dua buah kediaman jirannya turut hangus dijilat api dan kebakaran berjaya dipadam pihak bomba selepas dua jam kejadian berlaku.

“Ia berlaku pada hari raya kedua, pukul 11 pagi saya ke dapur nampak ada api di belakang rumah yang bermula daripada rumah jiran bahagian hujung.

Charlie berkongsi cerita bagaimana rumahnya boleh terbakar.

“Saya orang pertama cuba padamkan api dengan simbah air dan menjerit minta tolong sebelum orang ramai datang beri bantuan.

“Dalam jam 2 petang api dah terpadam dengan bantuan bomba, tapi rumah dan barang di dalamnya memang tak dapat diselamatkan kecuali dokumen penting macam surat beranak,” katanya kepada mStar.

Charlie berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Ziarah Seni Madani Finas di Dewan Persatuan Kebajikan Gombak Setia, Selangor pada pagi Khamis.

Hadir pada program itu ialah pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) iaitu Datuk Hans Isaac yang datang menyerahkan sumbangan wang tunai.

ARTIKEL BERKAITAN: Hans Isaac kembali dilantik sebagai Pengerusi Finas

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 37 tahun berjuang, akhirnya Sarimah Ahmad dapat semula 4 pita asal filem

Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas, Zed Zaidi. 

Ketika ini, Charlie bersama enam orang anaknya dan mangsa lain ditempatkan di Dewan Persatuan Kebajikan Gombak Setia, Selangor.

Dalam pada itu, Charlie menjelaskan punca kebakaran tersebut adalah disebabkan terdapat bahan mudah terbakar yang disimpan di stor milik jirannya.

Saya menjerit minta tolong sebelum orang ramai datang beri bantuan.

Charlie Nu'man

PELAKON

Bagaimanapun, Charlie bersyukur dengan kehadiran agensi seperti Finas, Persatuan Seniman Malaysia dan Lembaga Zakat yang hadir memberikan sumbangan kepadanya.

“Jumlah kerugian adalah dalam puluhan ribu ringgit, manakala punca kebakaran kata Bomba ada barang yang mudah terbakar di simpan dalam stor milik jiran.

“Tapi syukur Seniman, Finas dan zakat datang beri bantuan dan sumbangan,” jelasnya.

Hans bersama Charlie dan anak-anaknya.

Reda dengan takdir Allah, Charlie sangat berterima kasih kepada pihak Finas kerana mahu membantu untuk mencarikan tempat tinggal baharu buat dia dan anak-anak.

“Ini semua dugaan Tuhan jadi saya tak boleh buat apa selain reda.

“Syukur pihak Finas dan Seniman ada kata nak bantu carikan rumah untuk saya dan anak-anak.

“Rumah sekarang sewa bukan murah, mana saya mampu nak bayar,” ujarnya.

Charlie menerima sumbangan daripada pihak Finas.

Untuk rekod, Charlie pernah berkahwin pada usianya 40 tahun namun perkahwinan itu berakhir dengan penceraian.

Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Charlie kemudian bertemu jodoh pada 2011, bagaimanapun mereka bercerai pada 2020.

Mereka dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Nu’man Muda, 13, Num’man Rayyan, 12, Nur Raudhah, 11, Nu’man Muaz, 10, Nur Rania Affiya, 7, dan Nur Reesya Affiya, 5 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain