PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan berusaha membantu pelakon Charlie Nu'man yang berdepan ujian kediamannya di Gombak Setia, Selangor hangus terbakar pada Selasa lalu.
Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac berkata, dia akan menghubungi Menteri Besar Selangor iaitu Datuk Seri Amirudin Shari bagi mendapatkan tempat tinggal baharu buat aktor itu dan enam orang anak-anaknya yang masih kecil.
"Saya berharap dapat memaklumkan kepada Menteri Besar Selangor agar dapat membantu menyediakan kediaman untuk Charlie sekeluarga.
Hans sedaya upaya akan bantu Charlie dan anak-anaknya.
"Saya akan menghubungi beliau secara peribadi dan ini adalah inisiatif yang boleh saya lakukan bagi membantu Charlie.
"Jika bantuan ini dapat disalurkan dengan segera, pasti lebih baik," katanya kepada mStar.
Hans berkongsi perkara itu ketika menziarahi Charlie dan keluarganya yang ketika ini ditempatkan di Dewan Persatuan Kebajikan Gombak Setia, Selangor pada pagi Khamis.
Pada kunjungan itu, Hans mewakili Finas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Charlie namun tidak didedahkan jumlahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Hans Isaac kembali dilantik sebagai Pengerusi Finas
ARTIKEL BERKAITAN: Rumah terbakar pada hari raya kedua, pelakon Charlie Nu'man dan 6 orang anak terpaksa berteduh di penempatan sementara
Kunjungan Hans itu juga bersempena majlis Ziarah Seni Madani Finas yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas, Zed Zaidi.
Dalam pada itu, Hans memberitahu Finas prihatin dengan kejadian menimpa Charlie sekeluarga dan akan berusaha sedaya upaya menyalurkan bantuan.
Ini termasuk keperluan sekolah buat anak-anak Charlie susulan semua kelengkapan hangus dijilat api.
"Kami prihatin terhadap mana-mana ahli-ahli Seniman dan semua yang bernaung di bawah Finas dan akan cuba sedaya upaya membantu.
Saya berharap dapat memaklumkan kepada Menteri Besar Selangor agar dapat membantu menyediakan kediaman untuk Charlie sekeluarga.
DATUK HANS ISAAC
PENGERUSI FINAS
"Charlie sudah lama berkecimpung dalam industri seni. Jadi kami akan berusaha sebaik mungkin membantunya.
"Kami juga akan memastikan anak-anaknya dapat kembali ke sekolah, lebih-lebih lagi sekarang dalam suasana perayaan," ujarnya.
Keriangan menyambut Syawal terhenti buat Charlie dan keluarga apabila kediamannya hangus dijilat api dalam kejadian pada hari raya kedua lalu.
Charlie berkata, dia tersedar bahagian belakang rumahnya disambar api dan cuba memadamkan kebakaran dengan bantuan jiran dan orang ramai.
Tidak hanya rumahnya, dua buah kediaman jirannya turut hangus dijilat api dan kebakaran berjaya dipadam pihak bomba selepas dua jam kejadian berlaku.
Charlie dan enam anaknya ditempatkan di penempatan sementara.
Untuk rekod, Charlie pernah berkahwin pada usianya 40 tahun namun perkahwinan itu berakhir dengan penceraian.
Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Charlie kemudian bertemu jodoh pada 2011, bagaimanapun mereka bercerai pada 2020.
Mereka dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Nu’man Muda, 13, Num’man Rayyan, 12, Nur Raudhah, 11, Nu’man Muaz, 10, Nur Rania Affiya, 7, dan Nur Reesya Affiya, 5 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!