DALAM keterujaan mengerjakan ibadah umrah, pelawak Mamat Sepah berdepan dugaan apabila dia mengalami kecederaan luka pada bahagian kanan pinggang dipercayai tercucuk objek tajam.
Kata Mamat atau Mohd Noor Murad, 40, kecederaan itu berlaku tanpa disedari ketika dia cuba mencium Hajar Aswad pada malam Ahad.
"Ketika berasak-asak dengan ramai jemaah lain, tiba-tiba saya rasa seperti ada besi tercucuk pada bahagian pinggang. Saya menjerit kesakitan dan selepas itu terus bawa isteri keluar.
Mamat menunaikan umrah bersama isteri.
"Walaupun rasa pedih, tetapi saya biarkah sahaja dan sempat bawa isteri pergi makan. Apabila sampai di bilik penginapan baru sedar kain ihram dah berdarah dan ada koyakan pada kulit bahagian pinggang," katanya kepada mStar.
Gara-gara insiden itu, Mamat terus dibawa ke klinik berdekatan oleh agensi umrah yang menguruskan perjalanannya di sana.
Susulan kecederaan yang dialami, Mamat berkata ia sedikit sebanyak mengganggu perjalanannya mengerjakan ibadah di Tanah Suci itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Mamat tak sangka dapat tunai umrah dengan Shuib, kenang erti persahabatan di Tanah Suci
ARTIKEL BERKAITAN: “Nyawa aku hilang berbelas tahun...” - Mamat Sepah kini hos Dol’s Podcast, Shuib mahu sahabat kembali menyinar
Malah dia juga bimbang tidak dapat melakukan ibadah umrah buat kali kedua kerana enggan berada di kawasan orang ramai.
"Doktor nasihatkan saya untuk jahit bahagian luka, tetapi saya minta hanya tampal sahaja.
"Apabila berlaku kecederaan begini saya pun takut nak berada ditempat ramai orang. Bimbang terkena bahagian luka.
Ini adalah dugaan dan hadiah buat saya.
MAMAT SEPAH
PELAWAK
"Sedih juga kerana tidak dapat mengerjakan ibadah umrah kali kedua bersama rakan-rakan," ujarnya.
Tambah Mamat dia juga terpaksa mengurangkan pergerakan dan perlu lebih berehat di bilik penginapan.
Tenang menerima ujian itu, pelawak ini menganggap kejadian yang berlaku sebagai satu 'hadiah' untuk dia lebih belajar erti sabar.
"Disebabkan luka itu, kaki saya pun terasa sakit. Jadi saya lebih banyak rehat di bilik sahaja.
Mamat anggap luka sebagai dugaan umrah.
"Saya tidak mahu salahkan sesiapa. Mungkin benda tajam itu adalah gunting yang dibawa jemaah untuk bertahlul.
"Saya tak mahu salahkan mana-mana pihak. Ini adalah dugaan dan hadiah buat saya," jelasnya.
Mamat mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah bersama isterinya iaitu Nordiana Ibrahim.
Turut berangkat sama adalah dua sahabatnya iaitu Shuib serta penyampai radio Suria, Kai Hassan bersama pasangan masing-masing.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!