suria

"Cinta itu ada turun, naiknya" - Julia Farhana kembali ke pangkuan Erwin Dawson

Cinta Erwin Dawson dan Julia Farhana kembali bertaut.

PADA akhir November lalu, aktor kelahiran Singapura Erwin Dawson membuat kejutan apabila mengumumkan perpisahannya dengan pelakon Julia Farhana walaupun mereka sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Namun Julia, 26, menjelaskan keretakan hubungan tersebut sudah kembali pulih selepas kedua-dua mereka duduk berbincang mengenai masalah dihadapi mereka baru-baru ini.

Kata Julia, dia terbuka hati menerima kembali Erwin dalam hidupnya selepas yakin pelakon itu mencintainya selain dia sendiri masih menyayangi jejaka itu.

"Selepas berpisah hampir sebulan sebenarnya kami tidak bertemu kerana pelbagai sebab... Marah dan ego dalam diri masing-masing.

"Tapi akhirnya kami duduk berbincang dan saya lihat sejak kami berpisah dia banyak menunjukkan perubahan dan menjadi insan yang lebih baik.

Julia beri peluang kedua kepada Erwin.

"Harus saya akui, saya masih sayangkan Erwin dan begitu juga dia, jadi kami ambil apa terjadi sebelum ini sebagai pengajaran untuk memperbaiki kesilapan dan membuka buku baru," katanya kepada mStar Online.

Julia ditemui ketika hadir ke Festival Anggun Life yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia Alam, Shah Alam, Sabtu.

Ditanya mengenai punca perpisahan mereka sebelum ini, Julia memberitahu ia disebabkan satu insiden yang berlaku sekitar Oktober lalu namun enggan mendedahkan mengenainya kerana merasakan ia peribadi.

Pun begitu kata Julia, dia mengakui terluka disebabkan insiden itu namun melihat kejadian itu membawa hikmah kepada mereka berdua.

Julia menyifatkan perpisahan dengan Erwin sebelum ini mempunyai hikmah.

"Cinta itu sebenarnya ada turun naiknya dan kami tidak terlepas daripada perkara itu namun harus saya akui kejadian itu buatkan hati saya terluka.

"Apabila kami duduk berbincang saya cuba memahami situasinya dan tidak sewenang-wenangnya meletakkan semua kesalahan itu padanya.

"Manusia itu sifatnya melakukan kesilapan dan begitu juga Erwin... Saya juga mungkin akan melakukan kesilapan," katanya.

Tambah Julia, mereka sepakat mengambil peluang kedua itu untuk mula mengenali hati budi masing-masing selain memperbetulkan segala kesilapan yang pernah berlaku sebelum ini.

Malah mereka sepakat untuk tidak tergesa-gesa mendirikan rumah tangga seperti mana perancangan awal kerana merasakan masanya masih belum sesuai.

Julia Farhana, Erwin Dawson

Artikel Lain