suria

Wanita berpurdah cari Hafiz Hamidun di pejabat

Hafiz akan ambil tindakan jika keterlaluan.

PENYANYI Hafiz Hamidun mendedahkan menerima gangguan seorang wanita tidak dikenali yang sering mengaitkan namanya di laman sosial Twitter.

Hafiz, 34, berkata, gangguan itu semakin serius apabila wanita tersebut berani datang ke pejabatnya untuk bertemu dengannya.

“Dia mula tagged nama saya sejak awal tahun lalu tapi saya tidak layan dan ambil tahu tapi kebelakangan ini ia menjadi lagi kerap sehingga menuduh melarikan diri dari rumah untuk bertemu saya.

“Dia juga mencari nombor telefon pekerja saya dan mula menganggu dengan tawaran beberapa projek kolaborasi dengan artis Kpop katanya.

“Dan kemuncak Isnin lalu dia datang ke pejabat untuk bertemu saya, mujur waktu itu saya tiada di pejabat,” ujarnya kepada mStar Online.

Status yang dimuat naik wanita itu dan hadir ke pejabat Hafiz.

Hafiz pada awalnya memuat naik kenyataan-kenyataan dari laman twitter wanita itu yang dianggap sebagai psiko.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Jodoh Berdua ini memadam status tersebut bagi menghormati keluarga wanita berkenaan.

"Cara dia tulis sangat psiko dan tidak masuk akal, dia mahu saya jadi abang ipar dia dan macam-macamlah" ujarnya.

Tambah Hafiz, kakak wanita itu ada menghubunginya dan meminta dia tidak membesarkan hal itu berikutan wanita berkenaan difahamkan berdepan masalah kesihatan.

“Kakak dia ada mesej saya secara peribadi dan minta saya tidak viralkan perkara ini, jadi saya hormati dan berharap pihak mereka turut menghormati saya.

“Namun jika masih lagi mengaitkan nama saya dengan tuduhan-tuduhan yang boleh menimbulkan fitnah saya tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan,” ujarnya.

Hafiz Hamidun

Artikel Lain