suria

Kaka Azraff yang lamar teman lelaki, bukan bertunang tapi merisik

Kaka Azraff memberitahu dia dan teman lelakinya, Adam Azriff tidak bertunang sebaliknya ia hanya majlis merisik dan berkenalan di antara keluarga kedua-dua belah pihak.

SELEPAS beberapa hari mendiamkan diri berhubung spekulasi sudah mengikat tali pertunangan, penyanyi Kaka Azraff mengakui telah dirisik oleh keluarga teman lelakinya iaitu Adam Azriff dalam sebuah majlis yang diadakan pada 27 November lalu.

Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 29, memberitahu dia tidak berniat untuk merahsiakan perkara tersebut sebaliknya majlis itu diadakan secara tertutup yang dihadiri oleh ahli keluarga terdekat sahaja.

“Sebenarnya itu bukan majlis pertunangan saya dengan Adam tetapi ia hanyalah majlis merisik sahaja dan pertemuan dengan keluarga kedua-dua belah pihak.

“Saya tak ada niat pun nak sorok-sorok atau berahsia mengenai perkara ini. Majlis itu hanya diadakan untuk keluarga dan saya tak kisah pun kalau ada yang tahu,” katanya kepada mStar Online.


Foto yang dimuat naik Adam di laman sosialnya.

Kaka diminta mengulas mengenai video yang dimuat naik Adam di Instastory yang memperlihatkan seorang wanita menyarungkan cincin di jarinya.

Dalam pada itu, Kaka memberitahu dia dan teman lelakinya merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat dan buat masa ini sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis tersebut yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Malah kata Kaka, keluarga kedua-dua belah pihak juga sudah menetapkan tarikh untuk perkahwinan mereka nanti.

“Sudah ada tarikh dan kini sedang buat persiapan. Insya-Allah kami akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Tapi buat masa sekarang, saya belum boleh beritahu tarikh sebenarnya.

“Saya akan berkongsi dengan semua orang tidak lama lagi. Saya berharap peminat boleh doa yang baik-baik untuk segala mempermudahkan segala urusan itu,” ujarnya.

Kaka memberitahu dia yang melamar teman lelakinya.

Bercakap mengenai percintaannya dengan Adam, Kaka memberitahu dia mengenai rapat jejaka berasal dari Kuala Lumpur itu sejak setahun lalu dan mula menjalinkan hubungan cinta tiga bulan lalu.

Malah Kaka mendedahkan dia yang telah melamar Adam selepas merasakan teman lelakinya itu menepati ciri-ciri yang dicari untuk dijadikan pasangan hidup.

“Enam bulan lalu, media pernah bertanya pada saya bila nak berkahwin dan saya jawab kalau dah jumpa jodoh, saya nak terus kahwin sahaja.

“Alhamdulillah, kata-kata saya itu menjadi doa dan dimakbulkan saya bertemu dengan Adam. Kami berkenalan rapat hanya tiga bulan dan saya terus melamar dia untuk berkahwin.

“Bagi saya, kalau bercinta lama pun tak ke mana-mana, lebih baik terus kahwin sahaja. Bila saya ajak kahwin, dia pun okey,” katanya.

Kaka Azraff, Adam Azriff

Artikel Lain