PERTUNANGAN penyanyi Sufi Rashid dengan usahawan iaitu Nurulain Md Yusof pada Sabtu lalu sepatutnya menjadi sebuah majlis menggembirakan namun berlaku sebaliknya. Ia berikutan kelantangan ibu penyanyi itu, Irma Suriana Mahamud yang memberi gambaran tidak merestui pertunangan pasangan berkenaan malah mendakwa tidak pernah menghantar wakil untuk merisik Nurulain. Irma dalam status yang dimuat naik di Facebook turut mendakwa Nurulain yang mengatur majlis tersebut bagi meraih perhatian. Pendedahan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang terkejut dengan reaksi Irma malah ramai turut menasihatkan agar dia berbincang secara baik dengan Sufi dan tidak menggunakan media sosial bagi meluahkan rasa tidak puas hati. Status yang dimuat naik oleh Irma di Facebook miliknya. Menerusi entri terbaharu Irma, dia menjelaskan sebagai ibu dia mempunyai hak untuk bercakap tentang kebenaran dan berkongsi perkara yang masyarakat tidak tahu. "Saya ada hak untuk bercakap tentang kebenaran dan berkongsi perkara yang orang tidak tahu. "Tiada seorang ibu pun yang mahu meilihat anak mereka dibuli dan dipergunakan kerana popularitinya," kata Irma. Dalam pada itu, Irma berkata, dia bukan seorang ibu yang hipokrit dan hanya akan memuji walaupun sedar ia perbuatan tidak baik dan salah. Katanya, sejak kecil dia mendisiplinkan anak-anaknya agar menghormati orang lain selain tidak bersikap biadab dan bukannya menjadi seorang jahil. Nurulain dan Sufi bakal berkahwin tahun hadapan. "Tapi apabila mereka sudah besar dan memilih untuk berubah 360 darjah tanpa menghormati saya yang membesarkan mereka adalah sesuatu yang saya tidak akan bertolak ansur dan berdiam diri," ujarnya. Dalam pada itu, Sufi menerusi Instagram miliknya pula memuat naik status berbaur kecewa dipercayai berhubung tindakan ibunya itu. Penyanyi berasal dari Singapura itu memberitahu apa dilaluinya itu mungkin ujian daripada Allah yang mahu dia menghadapi dugaan dalam kehidupannya. "Pada tahap sekarang, itu adalah satu-satunya 'cerita' yang orang ingat tentang saya, yang sentiasa meghantui hidup saya," katanya. Perkongsian Sufi di Instagram. Dalam perkongsian berbeza, Sufi turut menyoal dirinya sama ada dia tidak patut memilih jalan ini namun tetap meneruskannya kerana setiap kehidupan itu mempunyi cabaran berbeza. "Jika saya tahu akan berakhir begini, saya tidak sepatutnya memilih jalan ini. Tapi setiap jalan itu ada likunya kan? Apa yang patut saya lakukan sekarang. Kesabaran vs kebaikan," tulisnya. Pun begitu kata Sufi, dia mendapat kekuatan dalam mengharungi setiap cabaran dalam hidup daripada bapanya yang disifatkan seorang sederhana. "Saya dapat kekuatan daripada bapa... Seorang yang hidup sederhana dan hargai segalanya," ujarnya lagi. Usaha mStar Online untuk mendapatkan komen Sufie berhubung isu itu bagaimanapun tidak berjaya apabila panggilan dan mesej kepadanya tidak berjawab.