BELUM pernah terjadi dalam industri hiburan tanah air apabila artis memfailkan saman terhadap netizen tetapi itulah dilakukan aktres Linda Rafar demi mempertahankan haknya selepas dibuli di alam siber. Saman itu dilakukan Linda ke atas lebih 100 individu yang melemparkan kecaman sehingga menjejaskan reputasinya di laman sosial berhubung dakwaan memfitnah jururawat baru-baru ini. Linda, 41, berkata, pihaknya sudah mengenal pasti individu-individu tersebut menerusi beberapa platform media sosial dan akan menyerahkan surat saman berkenaan dalam tempoh terdekat. ARTIKEL BERKAITAN: DON mahu saman malu Linda Rafar kerana didakwa fitnah jururawat “Saya bersama peguam sudah mengenal pasti lebih 100 individu yang mengeluarkan komen mengaibkan sehingga memberi kesan kepada keluarga kami. “Persediaan sedang dilakukan bagi mengenal pasti butiran lanjut seperti alamat sab tuntutan itu kami akan serahkan dalam tempoh sebulan bermula hari ini,” katanya. Linda mahu mereka yang mengutuknya segera memohon maaf. Linda ditemui pada sidang media yang diadakan di Shah Alam pada Selasa yang turut dihadiri peguamnya, Nurul Hafidzah Hasan. Dalam pada itu, Nurul Hafidzah berkata, menerusi saman itu pihaknya menuntut pihak terbabit untuk membuat permohonan maaf secara terbuka di platform media sosial masing-masing. Katanya, kesemua individu itu diberi tempoh tujuh ke 14 hari untuk berbuat demikian selepas menerima notis tuntutan itu. “Kami cuma menuntut mereka membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak anak guam saya di platform mana dia mengeluarkan kata-kata tohmahan dan fitnah tersebut. “Sekiranya mereka masih berdegil pihak kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya,” ujarnya. Sementara itu, Linda berkata, dia bertindak menuntut permohonan maaf itu kerana terpaksa menanggung malu sehingga memberi impak bukan sahaja kepada dirinya termasuk keluarga. Linda (dua dari kanan) bersama barisan peguamnya. Kata Linda, pada awalnya dia tidak mahu meneruskan dengan saman itu namun selepas ibunya, Rasimah Abd Rahman meninggal dunia pada 11 Januari lalu, kritikan dan kecaman terhadap dirinya terus berlaku. “Saya sebenarnya sudah tidak mahu memanjangkan perkara ini malah keluarga pun nasihatkan agar lupakan sahaja. “Tetapi selepas ibu meninggal dunia, isu itu masih berterusan dan saya terus mendapat pelbagai kata-kata kecaman membuatkan adik-beradik saya pun meminta saya teruskan dengan saman itu,” jelasnya. Sebelum ini Linda memuat naik keluhan terhadap sekumpulan jururawat yang didakwa bersikap biadab di sebuah hospital di Shah Alam pada Disember lalu. Status tersebut mengundang kemarahan orang ramai termasuk golongan jururawat yang menyifatkan tindakan Linda itu tidak sepatutnya dilakukan.