suria

Sudah buat kajian sejak 2014, hos akui tak mampu bersikap neutral ketika debat vaksin

Finaz bertindak sebagai hos pada program Analisis.

PENGACARA program bual bicara Analisis Finaz Yunus mengakui dirinya tidak mampu untuk bersikap neutral ketika debat vaksin yang dikendalikannya menerusi saluran televisyen Al Hijrah Jumaat lalu.

Finaz menerusi Instagramnya berkata, dia sudah membuat kajian mengenai gerakan anti vaksin sejak tahun 2014 dan mendapati statistik kematian akibat kegagalan program vaksinasi semakin meningkat.

"2014 adalah tahun saya mula mengkaji tentang gerakan anti vaksin/pro choice. Saya membuat laporan khas untuk @beritaalhijrah ketika itu.

"Selepas berminggu-minggu kajian, berhari-hari mendengar sudut pandang prochoice, agamawan dan doktor, sudah tentu saya memperoleh maklumat yang credible," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor anti vaksin dikecam selepas muncul di TV

View this post on Instagram

2014 adalah tahun saya mula mengkaji tentang gerakan anti vaksin/pro choice. Saya membuat laporan khas untuk @beritaalhijrah ketika itu. Saya dapatkan Pro Choice, Doktor & Agamawan untuk mengulas. Selepas berminggu2 kajian, berhari-hari mendengar sudut pandang pro choice, agamawan & doktor,sudah tentu saya memperoleh maklumat yang credible. Dan akhirnya INILAH KEBIMBANGAN UTAMA saya sebagai rakyat Malaysia & seorang Ibu. Kadar Liputan Immunisasi Negara . Apa akan berlaku jika Liputan Immunisasi terus jatuh? Ia bermakna Herd Immunity atau Kelompok Immuniti makin kurang & wabak akan MUDAH merebak! Selama ini kita tak dengar penyakit, difteria, measles sebab our herd immunity kuat berikutan lebih 95% Malaysian mengambil suntikan vaksin. Namun gerakan pro choice telah 'melonggarkan' kelompok immuniti ini. Bagaimana saya mahu bersikap 'Neutral' apabila segala statistik kematian di Malaysia, Filipina, US, Britain dek wabak ini berpunca daripada kegagalan program vaksinasi di kawasan tertentu. Maaf. Saya tak mampu. Saya ada tanggungjawab di sini. Saya akan tetap berkata benar walau saya keseorangan. #betruthfulnotneutral #analisisfinazyunus #tvalhijrah #vaccinateyourkids

A post shared by Finaz Yunus (@finazyunus) on

Program bual bicara yang mengupas topik "Vaksin: Perlindungan atau Kemudaratan" mendapat perhatian netizen sejak Sabtu.

Menerusi program secara langsung, seorang doktor sambilan Dr Nurulhuda Muhammed Zabedi dikecam teruk pengguna media sosial kerana pendiriannya sebagai seorang anti vaksin.

Seorang lagi penal dijemput pada program tersebut pakar perunding prediatrik Datuk Dr Musa Mohd Nordin bagi menghuraikan kepentingan pengambilan vaksin. 

Tambah Finaz, maklumat kematian disebabkan kegagalan program vaksinasi menjadi kebimbangannya sebagai seorang ibu dan rakyat Malaysia.

Katanya, dia juga bertanggungjawab dan akan tetap berkata benar walaupun keseorangan menghadapi isu sebegini.

"Kadar Liputan Immunisasi Negara. Apa akan berlaku jika Liputan Immunisasi terus jatuh? 

"Ia bermakna Herd Immunity atau Kelompok Immuniti makin kurang dan wabak akan mudah merebak! Selama ini kita tak dengar penyakit, difteria, measles sebab herd immunity kuat berikutan lebih 95 peratus rakyat Malaysia mengambil suntikan vaksin.

"Namun gerakan pro choice telah 'melonggarkan' kelompok immuniti ini.

"Bagaimana saya mahu bersikap 'Neutral' apabila segala statistik kematian di Malaysia, Filipina, Amerika Syarikat, Britain kerana wabak ini berpunca daripada kegagalan program vaksinasi di kawasan tertentu," ujarnya lagi.

Sementara itu, tambahnya, dia juga meminta maaf terpaksa mengajukan soalan berbaur provokasi.

Kenyataan Finaz di laman sosial peribadinya pada Ahad.

Soalan berbunyi “sebagai seorang Muslim, jika pandangan pakar perubatan tidak diikuti, pandangan ulama dan mufti tidak dipatuhi, nak ikut kata-kata siapa?” itu dianggap mematahkan hujah-hujah yang diberikan penal anti vaksin.

Katanya, soalan itu sepatutnya diletakkan pada penghujung rancangan dengan harapan masa tidak mencukupi untuk dijawab.

"Saya mohon maaf, saya terpaksa ajukan soalan ini. Soalan ini sebenarnya soalan yang pertama sekali terbit dalam pemikiran saya sewaktu dibentangkan isu ini.

"Namun saya letakkan soalan ini sebagai soalan terakhir, dengan harapan masa tidak mencukupi untuk tidak mengajukan soalan ini. Namun Allah sebaik-baik perancang," ujarnya.

Bagaimanapun, Finaz berharap netizen tidak terus mengecam secara berlebihan golongan tersebut.

"Objektif program semalam tidak lain hanyalah mahu memberi kesedaran dan memberi rakyat peluang untuk menilai mana yang baik dan mana yang lebih besar mudaratnya sahaja," ujarnya.

Artikel Lain