suria

Siti Sarah mahu jumpa Misha Omar, selesaikan isu bomoh

Siti Sarah (gambar) dan Misha Omar, kedua-duanya finalis AJL33.

PENYANYI Siti Sarah Raisuddin merancang untuk bertemu Misha Omar dalam usaha berbincang isu peminatnya yang didakwa memfitnah pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) lalu menggunakan bomoh bagi memenangi pertandingan itu.

Sarah berkata, dia sendiri terkejut dengan isu yang tular itu kerana tidak mengetahui mengenainya sehingga diberitahu oleh pengurusnya sendiri.

“Jujurnya saya memang tidak tahu menahu mengenai isu itu dah hanya dimaklumkan oleh pengurus saya sehari sebelum Misha membuat sidang media.

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh guna ‘Mak Esah’ di AJL33, Misha beri masa 7 hari untuk pemfitnah minta maaf

ARTIKEL BERKAITAN: "Maafkan saya, Misha" - Individu akui tuduhan guna 'Mak Esah' kerana terlalu emosi

“Saya sedih dengan apa yang berlaku... Sedih juga kepada pelaku kerana terlalu taksub sehingga menyebabkan masalah ini berlaku.

“Insya-Allah saya akan bertemu dengan Misha secara peribadi bagi membincangkan mengenai perkara ini,” katanya kepada mStar Online.


Misha Omar ketika membuat persembahan semasa AJL33 pada 3 Februari lalu.

Pada Jumaat lalu, Misha memberi tempoh tujuh hari kepada beberapa individu untuk tampil membuat permohonan maaf tanpa bersyarat kepadanya berhubung fitnah dibuat terhadapnya.

Dua daripada penyebar fitnah yang dikenali sebagai Zahar Bubu dan Tengku Muda tampil memohon maaf kepada Misha sehari selepas sidang media itu diadakan.

Pada AJL33, lagu Misha berjudul Sampai Bila ciptaan Sharon Paul dan lirik tulisan Shah Shamshiri dan Ahmad Fedtri Yahya mendapat tempat ketiga selain Misha dipilih sebagai pemenang kategori vokal Terbaik.

Dalam pada itu, Sarah memberitahu dia bercadang untuk bertemu dengan peminatnya yang juga ahli kelabnya Hearty Sarah bagi mengetahui situasi sebenar dan menjernihkan keadaan.

Jelas Sarah lagi, hubungannya dengan Misha juga tiada sebarang masalah memandangkan isu itu tidak melibatkan mereka sebaliknya di antara peminat.

Siti Sarah

“Apa yang berlaku tiada kena mengena dengan saya atau pun Misha dan hubungan kami tiada masalah.

“Sebagai penyanyi yang agak senior dalam industri, saya tak terbawa dengan perkara ini cuma saya sedih kepada si pelaku,” ujarnya.

Sementara itu, Sarah memuji sikap lelaki tersebut yang membuat kenyataan meminta maaf sekaligus mengakui kesalahan dilakukan terhadap Misha.

Kata Sarah, sikap Misha yang terbuka memaafkan kesilapan pelaku juga turut dipuji selain mencerminkan keperibadiannya yang mulia.

“Apabila Misha ingin mengambil tindakan terhadap si pelaku itu adalah haknya... Perkara ini pun sebenarnya bukan di antara saya dan Misha.

“Zahar merendahkan diri untuk meminta maaf dan Misha terbuka menerima permohonan maaf itu adalah sangat indah,” katanya.

Misha Omar, Siti Sarah

Artikel Lain