suria

Isu disindir Sheila Rusly... Janna Nick rasa lebih baik diam atas dasar hormat

Janna Nick tidak ambil pusing kononnya disindir Sheila Rusly. FOTO: NUR ATHIRAH FARHANA

PELAKON Janna Nick hanya mahu mengambil langkah berdiam diri tanpa mengeluarkan kenyataan mengenai status dimuat naik produser Sheila Rusly yang dikatakan seakan-akan memerlinya.

Janna atau Nurul Jannah Muner, 25, berkata dia banyak terhutang budi dengan syarikat penerbitan JS Pictures Sdn Bhd dan tidak layak memberi komen kerana menganggap Sheila serta suami, Azman Yahya atau Jinggo sebagai orang terhormat dalam industri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Semua benda nak kaitkan LGBT!” - Janna Nick ulas foto cium Eyka Farhana

“Saya tak nak cakap apa-apa mengenai perkara itu atau beri kenyataan sebab saya menghormati JS Pictures dan saya juga banyak terhutang budi dengan mereka.

“Apa yang boleh saya katakan, saya menganggap Sis Sheila dan Papa Jinggo sebagai orang yang sangat terhormat dalam industri seni dan saya tak layak nak komen apa-apa,” katanya kepada mStar Online.

Janna yang juga duta Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL 2019) ditemui ketika sidang media di The New Straits Times Press (NSTP), Bangsar Kuala Lumpur pada Rabu.

Poster drama Leftenan Zana lakonan Tunku Hanis (dari kiri), Janna Nick dan Sheila Rusly yang disiarkan di TV3 mulai 8 Februari lalu.

Aktres itu diminta mengulas mengenai entri laman Instagram Sheila yang dimuat naik beberapa hari lalu untuk mempromosikan drama bersiri terbitannya yang dilakonkan oleh Janna selaku Leftenan Zana.

Status itu dikatakan menyindir Janna.

Biarpun isteri kepada pengarah Azman Yahya atau Jinggo tidak menyebut sebarang nama, namun ada pengikut laman Instagram mula mengaitkan Janna dengan kapsyen tersebut.

Menurut Janna, dia ada bertanya mengenai status tersebut dan Sheila tidak memberi sebarang reaksi negatif selain tidak mahu memanjangkan isu itu.

Kata Janna lagi, dia hanya akan mengulas lebih lanjut spekulasi mengenai hubungan dia dengan Sheila sekiranya pihak pengarah dan produser itu mengeluarkan kenyataan tentangnya.

“Saya ada bertanya kepada mereka dan tak ada reaksi negatif pun. Sekarang ni saya fokus pada bisnes dan mereka juga sibuk dengan kerjaya seni.

“Tak ada yang negatif pun. Macam yang saya katakan, tak ada apa perlu dikomen. Tapi saya hanya akan mengulas lebih lanjut kalau pihak sana bagi kenyataan,” ujarnya.

Hubungan Janna dengan Sheila sebelum ini baik namum ketika ini tidak dipastikan sejauh mana persahabatan mereka.

Janna Nick, Sheila Rusly

Artikel Lain