suria

Dua individu sebar fitnah mohon maaf... Misha tarik laporan polis, lega isu bomoh selesai

PENYANYI Misha Omar berkata dia tidak menyimpan dendam dan berasa lega kerana isu fitnah membabitkan dirinya berjaya diselesaikan dengan cara baik.

Menurut Misha atau Samiha @ Aisah binti Omar, 37, pertemuan dengan dua individu yang memfitnahnya itu adalah untuk mencari penyelesaian dan tidak mahu memanjangkan isu berkenaan.

"Alhamdullilah rasa lega sangat apabila isu ini selesai dan saya dapat berjumpa dengan dua individu tersebut.

"Demi Allah saya tiada dendam dengan mereka dan mereka berdua menjadi hero kerana berani dan ikhlas bertemu saya untuk membuat pernohonan maaf,” katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN:Dituduh guna ‘Mak Esah’ di AJL33, Misha beri masa 7 hari untuk pemfitnah minta maaf

ARTIKEL BERKAITAN: "Maafkan saya, Misha" - Individu akui tuduhan guna 'Mak Esah' kerana terlalu emosi

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Sarah mahu jumpa Misha Omar, selesaikan isu bomoh

Misha Omar bersama dua peguam dan individu yang memfitnahnya iaitu  Fairuz Azwan (bertopi) dan Zahar Bubu (dua dari kiri) mengadakan sidang media khas permohonan maaf  mengenai isu bomoh.

Misha Omar ditemui semasa sidang media pertemuan dan permohonan maaf fitnah netizen yang diadakan di Tovista, KL Eco City Mall, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam pertemuan itu, dua individu bertanggungjawab terhadap penulisan berbentuk fitnah terhadap Misha di laman sosial iaitu Fairuz Azwan dan Zahar Bubu tampil hadir membuat permohonan maaf.

Pada Jumaat lalu, Misha memberi tempoh tujuh hari kepada beberapa individu untuk tampil membuat permohonan maaf tanpa bersyarat kepadanya atas tuduhan  menggunakan khidmat bomoh untuk memenangi Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) lalu.

Misha turut berkata dia bakal menarik balik laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kota Damansara minggu lalu dalam masa terdekat.

Dua daripada penyebar fitnah yang dikenali sebagai Zahar Bubu dan Fairuz Azwan yuang juga menggunakan nama Tengku Muda tampil memohon maaf kepada Misha melalui media sosial selepas sidang media itu.

Misha mendapat tempat ketiga dan Vokal Terbaik pada AJL 33.

Pada AJL33, lagu Misha berjudul Sampai Bila ciptaan Sharon Paul dan lirik tulisan Shah Shamshiri dan Ahmad Fedtri Yahya mendapat tempat ketiga selain Misha dipilih sebagai pemenang kategori vokal Terbaik.

Sementara itu, dua individu yang menulis status tersebut pula mengakui kesilapan diri dan berjanji tidak akan mengulangi perkara itu lagi.

Malah, kejadian itu merupakan pengajaran untuk mereka dan akan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan.

"Sejujurnya apa yang berlaku ini pengajaran yang cukup berguna untuk kami supaya lebih berhati-hati dalam menulis dan berkongsi sesuatu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Misha kerana memaafkan kami dan berjanji tidak akan mengulangi apa yang berlaku,” kata Zahar.

Misha Omar, AJL33

Artikel Lain