suria

Man Bai kesal... Dia minta dulu, M Nasir dan Jamal yang dapat!

Man Bai (kanan) dan Rahim Maarof akan bergandingan dalam Konsert 2V Manbai + Rahim Maarof pada 6 April 2019. FOTO: Ong Soon Hin (shong).

PENYANYI Man Bai kesal dengan cara kerja sebuah agensi kesenian kerana menolak kertas cadangannya yang berhasrat mengadakan konsert pada 23 dan 24 Disember tahun lalu.

Man Bai atau nama sebenarnya Abdul Rahman Osman, 52, berkata dia sudah menghantar surat dan kertas cadangan pada Oktober tahun lalu namun hanya mendapat jawapan mengenai keputusan ditolak beberapa minggu sebelum tarikh dia mengadakan persembahan dengan alasan slot berkenaan akan digunakan untuk Duo Legenda  oleh Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir. 

“Saya kecewa dan terkilan dengan cara kerja dan pengurusan mereka. Saya dah hantar surat serta kertas cadangan untuk mengadakan konsert  bersama Rahim Maarof di Istana Budaya pada Oktober tahun lalu.

“Malah saya mengikut prosedur menghantar kertas cadangan dengan betul dan apabila saya hubungi, mereka boleh kata tarikh itu telah diberikan kepada Datuk Jamal untuk konsert bersama Datuk M. Nasir.

“Yang saya kecewa sebab mereka pada awalnya kata tarikh tu kosong tapi saat-saat akhir mereka boleh kata sudah beri tarikh tu untuk konsert lain,” katanya kepada pemberita.

Man Bai

Man Bai ditemui ketika sidang media Konsert 2V Manbai + Rahim Maarof di Pusat Pelancongan Malaysia, MaTic, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Kau Ilhamku ini menegaskan dia tidak ada masalah atau berasa kecil hati dengan Jamal atau mana-mana individu tertentu sebaliknya meminta pihak agensi berkenaan memperbaiki cara pengurusan mereka.

Bagaimanapun, Man Bai berharap pihak panggung berprestij itu akan mengubah cara pengurusan yang lebih baik dan tidak berat sebelah terhadap mana-mana selebriti yang ingin mengadakan konsert.

“Saya tak ada masalah atau rasa kecil hati dengan Jamal atau mana-mana individu tertentu. Apa yang saya katakan ni, hanya untuk pihak pengurusan agensi itu sahaja,” ujarnya.

Bagi mengubati kelukaan rasa kecil hati itu, Man Bai dan Rahim Maarof akan berganding bahu untu mengadakan persembahan mereka di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTic Kuala Lumpur pada 6 April depan.

Peminat yang ingin menyaksikan gandingan mereka boleh mendapatkan tiket dengan harga RM205 secara dalam talian di Ilasso Tickets

Man Bai, Rahim Maarof

Artikel Lain