suria

Lebih RM200,000 lesap... Polis rampas telefon bimbit, siasat bekas suami A Aida

Polis menahan Ariff Aziz bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang berjumlah RM200,000 milik A Aida.

PIHAK polis telah menahan bekas suami Datuk A. Aida iaitu Ariff Aziz bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang lebih RM200,000 milik produser itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya berjaya menjejaki Ariff, 30, pada Selasa lalu untuk diambil keterangan.

Polis turut merampas telefon bimbitnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Individu dikenali kebas duit A. Aida RM200,000! “Di Mesir baru sedar duit hilang”

ARTIKEL BERKAITAN: A. Aida, Ariff cerai talak satu - “Saya gembira dengan perceraian ini”

"Suspek adalah bekas suami A Aida sendiri. Bagaimanapun pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

A Aida dan Ariff bercerai selepas sembilan bulan bergelar suami-isteri.

"Kami rampas telefon bimbit suspek untuk mendapatkan maklumat seterusnya terutama berkaitan transaksi yang dibuat," katanya kepada mStar.

Ditanya adakah kemungkinan Ariff akan didakwa dalam masa terdekat, Noor Azmi berkata pihaknya memerlukan masa untuk mengenalpasti sama ada dia terlibat ataupun sebaliknya sebelum melengkapkan kertas siasatan.

"Selepas itu terpulang kepada pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) untuk tindakan susulan (jika terbukti dia terlibat)," katanya.

Apa yang saya harapkan kes ini berjalan dengan baik dan pihak yang bersalah dapat didakwa menurut peruntukan undang-undang.

DATUK A AIDA

PRODUSER

Pada Rabu lalu A Aida, 49, mendedahkan dia kehilangan lebih RM200,000 dalam bentuk pelaburan menerusi dua transaksi di luar pengetahuannya.

Sehubungan itu, A Aida membuat laporan di Balai Polis Taman Bukit Indah, Ampang pada 21 Jun lalu berkaitan kes tersebut.

Dalam laporan yang dibuat itu, A Aida menamakan beberapa individu terdekat dengannya yang telah membuat dua transkasi pindahan pelaburan ke akaun tidak dikenali kerana hanya individu itu sahaja yang mempunyai maklumat peribadi A Aida bagi tujuan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Noor Azmi Yusoff.

A Aida dikatakan menyedari wang berkenaan hilang yang keseluruhannya berjumlah RM213,805 ketika membuat semakan akaun semasa bercuti di Mesir antara 21 Mac hingga 31 Mac 2019.

Semasa semakan itu, A Aida mendapati terdapat dua transaksi luar biasa telah dibuat seseorang pada 1 Mac 2019 kira-kira pukul 5.45 pagi iaitu sebelum dia berangkat ke Mesir lagi. Namun tidak dapat dipastikan siapakah individu yang terlibat.

Dalam pada itu selepas pulang dari bercuti, A Aida melalui peguamnya Datuk Zulkifli Che Yong membuat permohonan untuk bercerai dengan Ariff kerana rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi.

Pada 18 Jun lalu pula, A Aida melakukan kejutan apabila dia mengumumkan sudah bercerai dengan Ariff atau nama sebenarnya Wan Izma Ariff Abd Aziz selepas pelakon itu melafazkan cerai talak satu pada 25 April 2019.

A Aida bersama peguamnya, Zulkifli Che Yong semasa sidang media pada 18 Jun lalu bagi mengumumkan perceraiannya.

Dalam pada itu A Aida yang dihubungi mStar untuk menjawab adakah kejadian tersebut menjadi punca percerainnya, dia bagaimanapun enggan memberi komen.

"Seperti saya katakan sebelum ini, jodoh... ajal dan maut di tangan Tuhan. Dia yang menentukan apa yang berlaku.

"Mengenai kes itu pula, saya tak boleh beri apa-apa kenyataan kerana ia dalam siasatan polis dan biarlah pihak berkuasa sahaja mengulas mengenainya.

"Apa yang saya harapkan kes ini berjalan dengan baik dan pihak yang bersalah dapat didakwa menurut peruntukan undang-undang," ujarnya yang berjaya dihubungi lewat malam Khamis.

Ariff pula tidak memberi respons terhadap panggilan telefon yang dibuat pihak mStar.

A. Aida, Ariff Aziz, Noor Azmi Yusoff

Artikel Lain