suria

“Awak tak beritahu pun kami pergi tonton” - Neelofa mohon maaf, netizen tetap tak puas hati perbuatan rakam dalam panggung

Neelofa buat permohonan maaf dan mengambil pengajaran atas apa yang berlaku. Foto Instagram @neelofa

PELAKON dan pengacara, Neelofa membuat permohonan maaf selepas mengakui kesilapannya memuat naik sedutan filem The Lion King menerusi Instagram miliknya.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 30, berkata tindakan memuat naik sedutan filem antarabangsa itu dilakukan tanpa sengaja kerana didorong perasaan teruja untuk menyokong karya berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Hello Neelofa... tak tahu ke benda awak buat ni illegal?” - Netizen bengang filem The Lion King 'bocor'

"Saya tiada niat untuk melanggar undang-undang hak cipta. Namun tindakan saya itu kerana terlalu teruja dan mahu menyokong filem tersebut serta berharap rakyat Malaysia turut menonton filem ini.

"Saya tidak sedar bahawa tindakan itu boleh mencetuskan masalah. Justeru, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesilapan yang dilakukan.

Permohonan maaf Neelofa yang dimuat naik di Instagram pada Selasa.

"Saya juga berharap orang lain akan belajar daripada kesilapan ini dan akan lebih berhati-hati pada masa depan," katanya.

Isu tersebut turut mendapat perhatian pihak panggung wayang seperti Golden Screen Cinema dan TGV Cinema yang menegaskan perbuatan itu melanggar undang-undang dan satu kesalahan serius.

Sebelum itu, kecoh di media sosial apabila netizen mengkritik tindakan Neelofa berkongsi rakaman sedutan filem The Lion King di laman Instastory miliknya.

Menerusi Twitter, seorang pemilik akaun dikenali Megat Aliff memuat naik paparan skrin Instagram memperlihatkan pengacara program Meletop itu berkongsi beberapa babak yang dirakam dalam panggung wayang.

Pelbagai komen netizen di laman Twitter.

Meskipun sudah membuat permohonan maaf, tinjauan di akaun Twitter Neelofa mendapati masih ada netizen yang tidak berpuas hati dan mahu tindakan diambil terhadap pengacara Meletop ini.

"Peraturan tetap peraturan, undang-undang tetap undang-undang. Niat yang baik tak semestinya boleh menghalalkan cara.

"Buat apa nak minta maaf dekat netizen kalau boleh minta maaf pada penerbit! Tak kan semua benda nak minta maaf dekat pihak yang tak berkepentingan dalam sesuatu isu iaitu netizen.

"Supaya ramai orang Malaysia tonton? Awak tak beritahu pun kami pergi tonton," komen netizen.

Neelofa jadikan pengajaran atas apa yang berlaku.

Dalam pada itu, ada juga peminat yang memberi kata-kata semangat kepada Neelofa dan berharap ia menjadi pengajaran untuk semua.

"Suka sangat cara Neelofa mengatasi masalah ini. Good job!

"Tak perlu nak perbesarkan perkara ini, Lofa pun dah minta maaf, setiap orang ada kekurangan.

"Respect Lofa sebab berani dan bertanggungjawab. Saya akan tonton filem ini selepas melihat sedutan yang dikongsi Lofa itu," kata peminat.

Neelofa, The Lion King

Artikel Lain