suria

Kenapa kahwin elok, nak cerai gaduh-gaduh kata Sharnaaz! Nabila pula menangis demi Jebat

MENGENANGKAN nasib anak yang baru berusia setahun, isteri kepada pelakon Sharnaaz Ahmad iaitu Noor Nabila Mohd Noor gagal menahan air mata.

Momen sayu itu berlaku di hadapan pihak media selepas berakhirnya prosiding tuntutan penceraian Nabila di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Rabu.

Enggan mengulas lanjut mengenai permohonan cerai yang ditolak Sharnaaz, kakak kepada selebriti terkenal Noor Neelofa ini memberitahu dia hanya ingin fokus untuk membesarkan anaknya, Jebat Jayden.

ARTIKEL BERKAITAN: Sharnaaz Ahmad masih sayang, tukar fikiran enggan cerai Nabila

ARTIKEL BERKAITAN: “Beri kami ruang untuk lalui proses ini dengan sabar” - Noor Nabila sahkan fail cerai terhadap Sharnaaz Ahmad

“Saya tak nak bagi kenyataan apa-apa lagi. Fokus saya hanya nak besarkan anak dengan baik dan beri kasih sayang secukupnya.

“Jadi, minta doa yang baik-baik sahaja,” kata Nabila kepada mStar.

Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki bernama Jebat Jayden yang baharu berusia setahun. - Foto Instagram @sharnaazahmad dan @jebatjayden

Kemelut rumah tangga Sharnaaz dan Nabila belum menemui jalan penyelesaian apabila pelakon itu enggan menceraikan isterinya kerana ingin terus berusaha menyelamatkan rumah tangga yang mereka bina sejak dua tahun lalu.

Sehubungan itu Hakim Syarie, Ahmad Muttaqi Ismail menetapkan 30 September ini bagi pelantikan jawatankuasa pendamai (JKP) untuk kedua-dua belah pihak di mahkamah yang sama.

Ketika prosiding berlangsung, peguam Sharnaaz, Akhbar Din Abdul Kader memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak bersetuju dengan tuntutan perceraian yang difailkan Nabila pada 27 Ogos lalu.

Menerusi permohonan penceraian itu, Nabila berkata dia dan Sharnaaz sudah tinggal berasingan sejak Februari lalu susulan tiada lagi persefahaman antara mereka.

Jebat Jayden baharu sahaja menyambut hari ulang tahun kelahiran yang pertama pada Ogos lalu. -Foto Instagram @noornabila

Malah Nabila turut menyatakan pihaknya cuba mencari jalan penyelesaian termasuk melalui keluarga kedua-dua pihak namun tidak berjaya.

Nabila memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Dalam pada itu Sharnaaz, 34, memberitahu dia ingin mencari jalan penyelesaian yang baik membabitkan rumah tangganya dengan isteri menerusi JKP.

Kata pelakon drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta ini, dia berharap apa sahaja keputusan dan jalan penyelesaian yang diperoleh kelak akan dipermudahkan.

“Niat saya nak mencari pendamaian dan jalan penyelesai yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak. Reda atau tidak, kita ada mahkamah dan kita perlu hadap benda itu.

“Kalau mahkamah dah perintah untuk JKP, maknanya kita kena ikut prosedur yang telah ditetapkan. Kenapa kahwin elok, tak kan nak cerai gaduh-gaduh,” katanya.

Artikel Lain