suria

“Adakah saya tak layak untuk dicintai?” - Lufya padam status elak fitnah terhadap suami

Lufya padam status pada Khamis demi menjaga ketenteraman semua pihak.

TINDAKAN pelakon Lufya membuat luahan secara terbuka mengenai sikap suaminya yang mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga di laman Instagram mengundang kecaman netizen.

Menurut Lufya, 34, perkongsiannya itu dibuat berikutan sudah tidak mampu menahan perasaan kecewa terhadap suami, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 29, yang mengabaikan haknya sebagai seorang isteri.

Bagaimanapun bagi mengelakkan fitnah berpanjangan terhadap dia dan suami, Lufya berkata dia mengambil keputusan memadam muat naik tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Lufya dakwa tak bahagia, jadi mangsa aniaya suami... “Aku pernah sakit, aku kemurungan”

ARTIKEL BERKAITAN: Lufya ajar anak pakai tudung kena kritik

"Tekanan yang Lufya rasakan melampaui kemampuan Lufya untuk menyimpan perkara ini sendiri. Lufya bertambah sedih apabila membaca komen-komen yang mengundang banyak fitnah terhadap dia dan Lufya padam posting semalam untuk ketenteraman semua pihak.

"Hati wanita ni jika dijaga, dibaja, dan disiram dengan perhatian dan kasih sayang tak mungkin meletop tak tentu fasal. Jangan ambil kesempatan terhadap wanita. Tolong faham kami, berikan kasih sayang dan kebahagian. Kenapa susah sangat nak buat itu? Adakah saya tak layak untuk dicintai?," katanya menerusi Instagram pada Jumaat.

Lufya memadam posting yang dibuat pada Khamis.

Sebelum itu, Lufya mendakwa suaminya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami selepas tiga bulan mereka bergelar suami isteri.

Lebih mengejutkan, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar turut mendakwa suaminya melakukan penganiayaan yang disifatkan sebagai tidak terjangkau dek fikiran terhadap dirinya.

"Sejak tiga bulan kita berkahwin, kau dah buat penganiayaan yang tak terjangkau fikiran.

"Lari daripada tanggungjawab sehingga masuk tiga bulan setengah berturut-turut. Aku diam, sampai tak mampu aku pikul sendiri lagi dan kesalahan itu kau ulang sehingga enam kali!" luahnya.

Lufya mendedahkan sikap suami yang mengabaikan tanggungjawab terhadapnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Umairah itu turut berterima kasih kepada peminat mendoakan yang terbaik untuk dirinya.

Ujarnya, sebagai manusia biasa dia memerlukan kebahagian dan berharap anaknya Laana Haura turut membesar dengan kasih sayang.

"Terima kasih untuk doa dan kasih sayang anda semua kepada Lufya.

"Saya sayang keluarga saya tapi saya perlu untuk bahagia membesarkan anak dengan sikap yang baik. Saya cuma manusia biasa dan bukannya malaikat!," katanya.

Lufya mahu anak sulungnya membesar dengan kasih sayang.

Sementara itu, hasil tinjauan mStar di laman Instagram Dr. Che Hafiz mendapati tiada sebarang muat naik baharu dibuat di akaunnya itu.

Namun ruangan komen dibanjiri dengan pelbagai kecaman daripada netizen yang turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Lufya.

Terdahulu, Lufya selamat bergelar isteri kepada Che Muhammad Hafiz Che Baharum dengan sekali lafaz pada 26 November 2016.

Hasil perkongsian hidup selama tiga tahun pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan diberi nama Laana Haura yang kini berusia dua tahun.

Lufya, Dr Che Mohd Hafiz

Artikel Lain