suria

“Artis tak boleh kena tengking ke?” - Nourul Wahab teruk disindir netizen, tampil perjelas isu video luah perasaan di KLIA

Penyanyi Nourul Wahab tampil menjelaskan situasi yang terjadi padanya di KLIA.

SELEPAS teruk dikecam netizen kerana dianggap golongan artis sentiasa mahu menerima layanan istimewa, penyanyi Nourul Wahab tampil menjelaskan mengenai niatnya meluahkan kekecewaan terhadap seorang anggota keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kata Nourul, 41, dia hanya mahu menegur dengan ikhlas agar mutu perkhidmatan pihak terlibat dapat dipertingkatkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nourul Wahab ditengking anggota keselamatan KLIA - “Saya tak pernah jumpa orang kurang ajar seperti itu”

"Lepas kejadian tu, saya rakam video dengan niat menegur. Sebagai seorang penyanyi, saya juga dalam bidang perkhidmatan... jadi saya faham.

"Saya faham mereka mungkin tak ada masa berehat dan emosi pun terganggu," katanya melalui video yang dikongsi di Instagram.

Video yang dikongsikan Nourul yang mendapat kecaman netizen.

Tambah Nourul, semua pihak termasuk netizen seharusnya berlapang dada dengan teguran dan maksud yang cuba disampaikan menerusi luahannya sebelum ini.

Ujarnya lagi, tanggapan bahawa hanya golongan berstatus tertentu layak menerima layanan baik juga perlu diubah kerana ia adalah hak asasi semua pihak.

"Yang membezakan kita adalah sikap, kesopanan dan bagaimana kita hadapi situasi tersebut. Orang yang tak boleh ditegur ini adalah orang yang tertutup fikirannya.

"Yang silapnya pemikiran orang ramai ni adalah kesopanan tu hanya untuk orang berada, bukan untuk orang yang tak berada... salah tu.

Saya tak cakap semua anggota keselamatan tak okey... ramai yang baik.

NOURUL WAHAB

PENYANYI

"Kita perlu bersopan dan berbuat baik dengan semua orang, bukan hanya VIP mahupun selebriti. Saya tak cakap semua anggota keselamatan tak okey... ramai yang baik," ujarnya.

Penyanyi Kerana Terluka ini berkata hanya peminat yang sudah lama mengikuti perkembangannya tahu apa yang selalu disampaikan Nourul di laman sosial.

Selain itu Nourul turut meminta orang ramai yang tidak mengetahui situasi sebenar agar berhenti membuat penilaian tanpa usul periksa.

"Peminat saya yang tahu perangai saya, tahu siapa saya dan apa yang saya selalu sampaikan di media sosial.

Nourul Wahab harap orang ramai tidak memberi komen secara melulu sebelum faham situasi sebenar.

"Yang tak suka tu tak perlu datang kalau dah tak suka, ambil tahu pun buat apa. Kalau tak faham, tak perlu komen... fahamkan dulu," katanya.

Menerusi laporan mStar pada Ahad, Nourul meluahkan rasa kecewa selepas melalui pengalaman tidak menyenangkan apabila ditengking oleh seorang anggota keselamatan di KLIA.

Kata penyanyi itu dia faham mengenai prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan namun berharap agar anggota berkenaan lebih berbudi bahasa ketika menjalankan tugas.

Ruangan komen pada Instagram mStar turut dibanjiri dengan komen-komen netizen berhubung isu ini.

"Rasa tergugatlah tu artis kena tengking, kalau orang biasa dah biasa dah. Kena tengking je pun... perasan diri tu bagus sangat.

"Artis tak boleh kena tengking ke?

"Mesti dia mulakan dulu. Apa dia ingat dia artis dia boleh dapat keistimewaan?" tulis beberapa netizen di ruangan komen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Nourul Wahab

Artikel Lain