suria

“InsyaAllah saya akan ada untuk Jebat sampai mati!” - Sharnaaz janji tak abaikan anak, cerai Nabila tanpa dendam

Sharnaaz Ahmad mengesahkan berita penceraian dengan Noor Nabila.

SELEPAS ahli perniagaan Noor Nabila mendedahkan sudah bercerai dengan suaminya Sharnaaz Ahmad pada 9 Julai lalu, aktor itu tampil menjelaskan keputusan itu dibuat secara baik.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 35, berkata, dia dan bekas isterinya itu sudah bermaafan dan tidak menyimpan sebarang dendam.

ARTIKEL BERKAITAN: “Syukur proses ini berjalan ketika kami dalam hubungan yang baik” - Sharnaaz, Nabila bercerai secara hakam

"Memang saya dan Nabila dah pun berpisah dengan baik secara hakam baru-baru ini.

"Alhamdulillah, saya dan Nabila tak ada masalah. Kami berkawan secara baik, berpisah pun secara baik, kami pun dah bermaafan.



Sharnaaz bersama bekas isterinya, Noor Nabila dan anak mereka.

"Orang kata jodoh tu semua rahsia Allah. Saya pun tak ada berdendam dengan dia dan dia pun tak berdendam dengan saya. Mungkin ni semua takdir Allah," katanya.

Pelakon Suamiku Encik Sotong ini berjanji untuk menjadi seorang bapa yang baik dan bertanggungjawab membesarkan anak lelakinya, Jebat Jayden.

Tambah Sharnaaz, dia tidak mahu Jebat merasa kehilangan kasih sayang seorang bapa.

Saya tak akan bagi Jebat rasa yang dia kehilangan bapa.

SHARNAAZ AHMAD

PELAKON



"Mungkin saya bukan suami yang baik, suami yang bagus. Tetapi satu saja yang saya takkan rosakkan iaitu menjadi seorang ayah yang baik kepada anak saya, Jebat.

"Keutamaan saya dan Nabila sama iaitu untuk berikan yang terbaik untuk Jebat. Saya tak akan bagi Jebat rasa yang dia kehilangan bapa.

"Saya tak pernah miss jumpa Jebat... walaupun sakit macam mana, walaupun sibuk macam mana saya akan cuba pergi jumpa anak saya di rumah Nabila," ujarnya.



Sharnaaz berkahwin dengan Noor Nabila pada 31 Mac 2017.

Dalam pada itu, Sharnaaz berpendapat keputusan untuk berpisah adalah jalan terbaik untuk mereka buat masa ini.

Bagaimanapun, Sharnaaz berkata dia tidak mahu memikirkan tentang pengganti kerana mahu menumpukan perhatian terhadap Jebat.

"Kami dah hidup seperti ini selama bertahun-tahun, jadi lebih elok kami berpisah dan cari jalan masing-masing untuk kebaikan bersama... yang penting tak ada gaduh.



Sharnaaz dan Noor Nabila dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden.

"Alhamdulillah, saya dapat pelepasan daripada Nabila untuk jumpa anak bila-bila sahaja dan di mana sahaja... bagi saya itu satu benda yang baik jadi tak ada sebab untuk saya jadi bapa yang tak baik.

"Saya kena ambil kesempatan itu dan berada di sisi Jebat. Insyaallah saya akan ada untuk Jebat sampai saya mati.

"Jangan tanya pada saya kalau nak cari pengganti sebab saya tak fikir lagi tentang itu. Tak nak la fikir fasal pengganti... yang penting saya ada anak saya," jelasnya.

Sharnaaz dan Noor Nabila bercerai pada 9 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.



Noor Nabila bersama anaknya, Jebat Jayden.

Sebelum ini, mahkamah menerusi Seksyen 47 (14) dan Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 mempunyai kuasa melantik dalam kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak iaitu dua penimbang tara (hakam) yang mempunyai maklumat berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Jebat Jayden yang berusia dua tahun.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain