suria

Ammar Alfian dapat kebenaran lelong aset gimnasium bernilai RM500,000 sebagai habuan ditipu syarikat kecergasan

Ammar memfailkan satu permohonan untuk menyita dan menjual aset bernilai RM500,000 daripada premis gimnasium Guardian Fitness.

PELAKON Ammar Alfian dibenarkan untuk menyita dan menjual aset bernilai RM500,000 daripada premis gimnasium Guardian Fitness kerana gagal membayar penghakiman pada Februari lalu.

Menurut Pengurus krisis dan jurucakap Ammar Alfian, Saiful Ridzuan daripada Saiful Ridzuan Public Relations and Communications, notis permohonan tersebut yang difailkan telah disempurnakan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Muat naik foto cacah tatu, Ammar Alfian akui kesilapan dan mohon ampun pada Allah - “Ambil perkara ini sebagai pengajaran untuk semua”

Menurut Saiful, lelongan akan dilakukan dalam tempoh 14 hari jika pihak tersebut tidak memberi wang yang sepatutnya kepada Ammar.

Ammar telah mendapat satu penghakiman berjumlah RM500,000 ke atas syarikat Guardian Fitness Sdn Bhd.

Pada 24 Februari lalu, mahkamah mengarahkan syarikat Guardian Fitness Sdn Bhd membayar wang berjumlah RM500,000 kepada Ammar atas kesalahan menipu dan melakukan salah nyata semasa mempelawa aktor itu untuk melabur lebih daripada RM400,000 sebagai balasan untuk ekuiti saham sebanyak 30 peratus dalam perniagaan syarikat itu.

Ammar memeterai perjanjian perniagaan tersebut pada tahun 2016 melalui pelawaan oleh Lee Chung Howe yang merupakan salah seorang pengarah Guardian Fitness Sdn Bhd.

Kami akan memastikan anak guam mendapat hak undang-undangnya.

NURUL HAFIDZAH HASSAN

PEGUAM

Mahkamah bersetuju dengan pihak peguam Ammar yang syarikat itu telah membuat penyata untung dan rugi yang dipalsukan supaya dia bersetuju membuat pelaburan.

Ekuiti saham yang dibayar oleh pelakon itu adalah untuk pegangan minoriti bagi gimnasium Anytime Fitness berkeluasan 8,000 kaki persegi yang terletak di tingkat 2 di Menara Hap Seng 2, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur.

Peguam sivil dan korporat yang mewakili Ammar Alfian iaitu Nurul Hafidzah Hassan daripada firma guaman NHA Advocates and Solicitors berkata, permohonan tersebut dibuat mengikut aturan undang-undang yang memberi kuasa kepada pihak Ammar untuk mendapatkan satu perintah bagi menyita dan menjual aset kepunyaan gimnasium tersebut dan melarang defendan untuk menguruskan harta yang telah disita tersebut.

Nurul Hafidzah Hassan (kiri) selaku peguam kepada Ammar.

"Saya menyatakan bahawa ianya adalah penting untuk anak guam kami, Ammar Alfian mendapat kembali wang yang telah dilaburkan serta kos guaman setelah pihak Guardian Fitness Sdn Bhd enggan, gagal, abai dan cuai dalam membayar penghakiman.

"Kami akan memastikan anak guam mendapat hak undang-undangnya," ujar Nurul Hafidzah Hassan.

Nurul Hafidzah turut dibantu peguam Zeti Zulkifli bagi kes penipuan dan salah nyata tersebut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain