suria

Pendapatan Imam Muda Syed Faris jadi isu, bekas isteri mahu proses tuntutan nafkah anak selesai luar mahkamah

Syed Faris dan Nur Hidayu perlu melalui proses sulh bagi mencapai kata putus mengenai tuntutan anak.

PROSES tuntutan nafkah anak yang difailkan oleh bekas isteri Imam Muda Syed Faris iaitu Nur Hidayu Rosly akan berlanjutan apabila mereka belum mencapai kata sepakat berhubung perkara itu.

Menurut Syed Faris atau nama sebenarnya Syed Mohd Faris Syed Roslan, 34, proses sulh yang berlangsung pada Selasa perlu diadakan lagi bagi memberi ruang kepada kedua-dua belah pihak untuk berbincang.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu mertua kesal anak dicerai Imam Muda Syed Faris selepas nikah wanita lain - “Alasan dia kahwin lain sebab nak bantu kewangan keluarga”

“InsyaAllah kita akan ada perbincangan lagi selepas ini sebab hari ini (proses sulh) agak drastik. Terlalu cepat dengan apa yang berlaku sebelum ini.

Syed Faris dan Nur Hidayu ketika selesai proses sulh di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada Selasa.

“Saya harap semua dapat doakan supaya rancangan dan masa depan anak-anak lebih terjamin. Perbincangan hari ini memang tentang anak-anak sahaja, ” kata Syed Faris kepada mStar.

Sementara itu Nur Hidayu berkata dia enggan memanjangkan kes berkenaan ke peringkat bicara di hadapan hakim.

Namun katanya, isu pendapatan Syed Faris perlu diambil kira sebelum sebarang kata putus dicapai.

“Proses ini memang akan ambil masa sebab kena juga ambil kira beberapa faktor antaranya pendapatan bekas suami saya. Kedua-dua pihak juga ada homework yang perlu dilakukan.

“Jika boleh kami mahu selesaikan perkara itu (tuntutan) di luar mahkamah dengan cara yang baik, ” kata Nur Hidayu.

Syed Faris dan Nur Hidayu, 33, hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada Selasa bagi menjalani proses sulh.

Nur Hidayu bersama lima anak-anaknya hasil perkahwinan dengan Syed Faris.

Sulh merupakan suatu perundingan dan perbincangan di antara pihak-pihak di hadapan seorang pegawai sulh berkaitan perkara yang dipertikaikan terhadap tuntutan di mahkamah syariah.

Menerusi laporan mStar pada 30 Julai lalu, ibu kepada Nur Hidayu yang dikenali sebagai Zainab mengesahkan Syed Faris menceraikan anaknya dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 28 Mei lalu.

Wanita itu turut mendakwa Syed Faris sudah beberapa kali kantoi berlaku curang terutamanya ketika Hidayu sedang hamil.

Bukan itu sahaja, Nur Hidayu menerusi sebuah laporan mendedahkan sudah berpisah dan mendakwa dikasari oleh madunya selepas Syed Faris bercadang untuk menceraikan salah seorang daripada mereka.

Sehubungan itu, pendakwah bebas berkenaan enggan mengulas lanjut mengenai semua dakwaan bekas isterinya kerana beranggapan ia akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Tak ada apa-apa (komen). Perkara ini akan mengeruhkan lagi keadaan, ” ujarnya ringkas.

Syed Faris dan Nur Hidayu berkahwin pada 2007 dan dikurniakan lima orang anak iaitu Sharifah Aisyah, 12; Syed Husayn, 10; Sharifah Fatimah, 5; Syed Muawiyyah, 3; dan Sharifah Safiyyah, 8 bulan.

Sepanjang perkahwinan mereka, Nur Hidayu pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain