suria

Neelofa nafi terkena buatan minyak pengasih, ‘transfer’ duit kepada PU Riz - “Keluarga kami dalam proses perbincangan cari titik penyelesaian”

Status hubungan Neelofa dan PU Riz menjadi tanda tanya sejak Sabtu.

SETELAH pelbagai spekulasi tidak manis mengenai hubungan dengan Pencetus Ummah (PU) Riz atau Haris Ismail hangat diperkatakan, Neelofa akhirnya tampil menjelaskan hal sebenar.

Kata Neelofa, dia menolak dakwaan kononnya terkena minyak pengasih selain sudah menikah dengan PU Riz secara senyap di Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh! Neelofa dan PU Riz dipercayai putus tunang

“Saya sendiri terkejut. Andaian yang dilemparkan tidak betul, tak berasas dan tak wajar.

“Tuduhan minyak pengasih, saya sedang berubat, transfer duit dan berkahwin di Kelantan sangat tidak betul dan karut!



Neelofa tampil menjelaskan isu melibatkan dirinya dan PU Riz.

“Ini melibatkan maruah keluarga kami, ia berat untuk ditelan, ” kata Neelofa menerusi video yang dimuat naik di IGTV pada Ahad malam.

Sementara itu, mengulas mengenai status terkini hubungannya dengan PU Riz, Neelofa bagaimanapun sekadar memberi bayangan seolah-olah dilanda badai.

"Apa yang mampu saya katakan, setiap hubungan itu ada cerita-cerita yang tersendiri dan tidak manis untuk saya mengeluarkan kenyataan membelakangi ahli keluarga saya.

Tuduhan minyak pengasih, saya sedang berubat, transfer duit dan berkahwin di Kelantan sangat tidak betul dan karut!

NEELOFA

PENGACARA, USAHAWAN

"Apa yang mampu saya katakan, keluarga saya dan keluarga Haris kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian.

"Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi kami masih belum pun ada apa sebarang ikatan," katanya.

Semalam, kisah mengenai hubungan Neelofa dan Pu Riz hangat diperkatakan netizen selepas adik-beradik bekas pengacara MeleTOP itu asyik berkongsi status berbaur sindiran yang dipercayai ditujukan kepada PU Riz.



PU Riz menghantar rombongan merisik Neelofa, November lalu.

Pada 1 November lalu, PU Riz menghantar rombongan merisik usahawan tersebut di kediaman keluarganya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Menerusi pemeriksaan di Instagram ibu Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohammed dilihat memadam gambar majlis tersebut di media sosialnya.

Berikut ini disiarkan kenyataan penuh siaran media yang dikeluarkan pihak Neelofa

Berkenaan dengan perkara yang sedang tular semenjak petang sabtu semalam, pelbagai cerita dan andaian yang telah keluar tentang diri saya dan keluarga. Berikut adalah penjelasan penuh berkaitan beberapa hal yang banyak dibualkan di media sosial.

Saya berharap, semua pihak dapat memahami apa yang saya ingin sampaikan dan seterusnya tidak terus membuat andaian mengenai perkara yang tidak betul tentang diri saya, Haris serta keluarga kami. Antara andaian dan tuduhan yang muncul di media sosial semenjak semalam adalah seperti berikut:

• Kononnya terkena buatan minyak pengasih

Cerita itu adalah tidak benar sama sekali dan sejujurnya, ia merupakan satu tuduhan yang amat berat. Alhamdulillah, seperti yang anda lihat sekarang saya berada dalam keadaan baik, dan kesihatan yang terbaik. Saya berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesihatan saya.

• Kononnya saya memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada Haris

Saya menyangkal tuduhan tersebut dan perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

• Kononnya saya telah pun melangsungkan perkahwinan dan telah dinikahkan oleh bapa saya sendiri di Kelantan

Andaian ini juga adalah satu tuduhan yang sangat tidak benar dan tidak berasas.

Saya mohon kepada semua pihak untuk tidak terus menerima andaian berkenaan bulat-bulat dan mengambil masa sejenak untuk memahami ketidakwajaran tuduhan ini.

Sementara itu, mengenai status hubungan terkini saya dengan Haris, apa yang mampu saya katakan, setiap hubungan itu ada cerita-cerita yang tersendiri dan tidak manis untuk saya mengeluarkan kenyataan membelakangi ahli keluarga saya. Apa yang mampu saya katakan, keluarga saya, dan keluarga Haris, kini dalam proses

Perbincangan untuk mencari titik penyelesaian. Bagi saya, adalah lebih baik jika perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Saya juga ingin mengambil kesempatan yang ada, ingin memohon maaf kepada pihak keluarga saya, keluarga Haris untuk segala perkara yang berlaku.

Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi kami masih belum pun ada apa sebarang ikatan.

Kepada keluarga saya, terima kasih yang tidak terhingga ingin saya ucapkan. Sokongan, kasih sayang yang ditunjukkan, teguran yang diberikan, saya hargai dengan setulus hati.

Sekali lagi, saya mohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama memahami dan dapat memberikan saya ruang yang sewajarnya. Harap perkara ini tidak lagi akan berpanjangan. Terakhir, saya perlukan doa-doa anda buat saya. Terima kasih juga untuk segala sokongan yang diberikan.

Saya sangat hargai. - Noor Neelofa Mohd Noor

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain