suria

Fara Mendoza belum menang, Zarina Anjoulie dapat perintah bela diri kes fitnah

Zarina berjaya membuat pembatalan penghakiman kes saman fitnah difailkan Fara Mendoza.

KES saman fitnah yang difailkan Fara Mendoza terhadap Zarina Anjoulie nampaknya belum berkesudahan apabila pelakon dan usahawan itu bakal membela diri di hadapan hakim.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Negeri Sembilan membenarkan permohonan dikemukakan Zarina untuk membatalkan penghakiman yang dimasukkan Fara berhubung dakwaan pelakon itu memfitnah dirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Emelda Rosmila tak nak mediasi, kes saman fitnah siber terhadap Zarina Anjoulie dibawa ke Mahkamah Tinggi

Menurut peguam Nurul Hafidzah Hassan daripada NHA Advocates and Solicitors, Zarina konsisten dengan pendirian terdahulu bahawa dia tidak memfitnah Fara.

"Anak guam saya menafikan segala tuduhan dan tidak pernah memfitnah Fara Mendoza. Kami akan memastikan dia akan memenangi kes ini," kata Nurul Hafidzah.



Zarina diberi peluang membela diri.

Sebelum ini media melaporkan Fara atau nama sebenarnya Nurfaralinah Md Yunus menang saman malu atau fitnah ke atas Zarina yang difailkan peguamnya pada Januari tahun lalu.

Susulan itu Zarina memfailkan permohonan membatalkan penghakiman di Mahkamah Tinggi Seremban pada 24 Jun 2020.

Kami akan memastikan beliau akan memenangi kes ini.

NURUL HAFIDZAH

PEGUAM

Menurut peguam, terdapat isu berbangkit terhadap keputusan berkenaan.

"Zarina mendakwa dia tidak menerima salinan saman secara peribadi dan menyangkakan peguam terdahulu telah membela nasib usahawan media sosial itu.

"Dia menyangkakan peguam yang dilantik terdahulu telah melindungi haknya dan mengusahakan untuk memenangi kes tuntutan fitnah tersebut sehinggalah berita kemenangan Fara diterbitkan oleh pihak media pada 5 Jun tahun lalu.

"Apabila Zarina menghubungi peguam tersebut, ahli keluarga peguam itu memaklumkan bahawa peguamnya diserang strok dan firma guaman telah pun ditutup beberapa bulan," katanya.

Akhirnya Zarina melantik barisan peguam yang baharu bagi mewakilinya selepas mendapatkan kepastian daripada mahkamah bahawa terdapat saman dan penghakiman bagi kesnya itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain