suria

“Ibu tidak restu… fitnah dan tohmah silih berganti” - Puisi ibu undang tanda tanya perkahwinan Hannah Delisha dan Imam Shah

Timbul dakwaan mengatakan perkahwinan Hannah Delisha dan suaminya iaitu aktor Imam Shah tidak mendapat restu daripada ibu aktres tersebut

BELUM sampai sebulan mendirikan rumah tangga, tiba-tiba angin duka berbisik membawa khabar kurang baik kisah dari seberang tambak.

"Perkahwinan mereka tidak mendapat restu si ibu. Itu saja yang saya boleh beritahu. Selebihnya, tanyalah tuan badan," itulah antara kata-kata ringkas daripada pemanggil misteri yang mendedahkan perkahwinan pelakon dari Singapura, Hannah Delisha, 25, dan Imam Shah, 32, kononnya tidak direstui ibu aktres itu.

Menguatkan lagi keadaan apabila pihak mStar berjaya menemui laman sosial ibu wanita berkenaan iaitu Noor Ashikin Ahmad dan mendapati kata-kata puitis berbentuk luahan perasaan memenuhi ruang.

ARTIKEL BERKAITAN: Hannah Delisha selamat bernikah dengan pelakon Singapura, Imam Shah - “Akhirnya selepas lima tahun”

Lebih menguatkan lagi teka-teki ini apabila terdapat tanda pagar #IbuTidakRestu pada pengakhiran bait-bait kata ditulisnya itu yang membangkitkan persoalan hubungan dua beranak berkenaan.

Menerusi catatanya itu, Noor Ashikin seolah-olah memberi bayangan mengenai percintaan pasangan itu dan keputusan mereka mendirikan rumah tangga dibuat tanpa pengetahuan si ibu.

Melalui perkongsian tersebut juga, Noor Ashikin yang turut menggelarkan dirinya Kakcik Wujud menceritakan situasi kehidupan ranjau dan duri yang ditempuh bersama anaknya sejak kecil hingga kini.



Antara bait-bait penulisan Noor Ashikin dengan tanda pagar #IbuTidakRestu

Menerusi tulisan itu dia menulis mengenai sebuah perkahwinan seorang wanita dengan mualaf yang berkakhir dengan perpisahan ketika si anak masih kecil.

Akibat kejadian itu, si ibu sanggup berbanting tulang dan berkorban apa saja demi membesarkan si anak.

Namun ketika si anak sudah dewasa dan mula bercinta seterusnya berumah tangga, si ibu terpaksa membawa diri dengan segala tohmahan bersilih ganti.

Beginilah catatannya:

"Sang ibu pernah bernikah dengan seorang muallaf dari bangsa yang asalnya, jauh di hujung benua.

"Jodoh tiada berkekalan, bercerai mereka tidak lama kemudian.

"Sang anak yang masih kecil, dibesarkan oleh ibunya.

"Termampu daya, semampu karya-Sang ibu cuba berusaha.

"Tidak mudah, tidak sempurna-segala yang ada sang ibu mencuba.

Pernikahan dilaksanakan dalam rahsia, ditutupi pula dengan media

NOOR ASHIKIN AHMAD

Ibu Hannah Delisha

"Peras keringat, berbanting tulang, sang ibu berkorban apa sahaja.

"Apabila dewasa Sang anak bercinta.

"Cinta yang datang dengan al kisahnya.

"Terjadi suatu yang membelenggu, maka itu tiada restu.

"Sang ibu membawa diri, fitnah dan tohmah silih berganti.

"Salah siapa bukan inti, salah sendiri menjadi paksi. Allah sentiasa menyaksi.

"Pernikahan dilaksanakan dalam rahsia, ditutupi pula dengan media," antara bait-bait penulisannya di Facebook.



Hannah Delisha dan suaminya Imam Shah melansungkan perkahwinan 18 Februari 2021.

Malah, Noor Ashikin turut menggunakan tanda pagar #ibutidakrestu yang menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai perkahwinan tersebut.

Noor Ashikin merupakan penyanyi Singapura pada era-80an pernah berkahwin dengan Peter Blackburne Birch yang berasal dari England iaitu bapa kepada Hannah.

Dia dikenali sebagai Kakcik Wujud kerana menjadi ahli kru Wujud, dalam menerbitkan video realiti seram di Singapura.

Noor Ashikin juga turut merakamkan lagu di negaranya iaitu Kerana Mulut, Tiada Lagi Ucapan Sayang dan Sinar Di Mata Mu.

Bagaimanapun, dia yang dihubungi mStar pada Isnin enggan mengulas mengenai luahannya itu dan hanya meminta pihak media merujuk laman sosial miliknya jika mahukan penjelasan tentang hal berkenaan.

"Ya saya ibu kandungnya, dan itu benar Instagram saya. Maaf saya tidak mahu komen tentang itu, boleh rujuk di Instagram dan Facebook saya," ujarnya ringkas.

Manakala usaha mStar untuk mendapatkan kenyataan dari Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch gagal apabila pengurus kepada aktres itu tidak menjawab panggilan dan membalas mesej.

Hannah Delisha atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch melangsungkan pernikahan bersama seorang pelakon dan model senegara, Muhammad Iman Shah Abdul Mutalib di Singapura pada 18 Februari lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain